KUALA LUMPUR – Tindakan Pakatan Harapan (PH) keluar Kerajaan Negeri Melaka bukanlah angkara dihalau atau dimarahi oleh Barisan Nasional (BN) sebaliknya keputusan itu diambil hanya kerana tidak bersetuju dengan protes terhadap pindaan Perlembagaan yang dicadangkan untuk memperkenalkan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik.
Adun Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, tindakan PH itu dibuat tanpa memikirkan keadaan semasa dan nasib rakan-rakan dalam kerajaan.
“PH sendiri buat keputusan untuk keluar (kerajaan). Kita (BN) tidak ada halau, kita tak ada marah, kita tak ada apa-apa. Cuma mereka bertindak sedemikian kerana tidak setuju dengan RUU Adun lantikan.
“Sidang hanya berbicara untuk pertimbangan membenarkan Adun lantikan bukanlah kita wajib buat. Asas pertimbangan itu juga kita sudah jelas dan kongsikan kepada PH dan sejak awal mereka maklumkan tidak setuju, maksudnya blok PH tidak setuju. Kemudian kita lanjutkan lagi perjelas justifikasi dan berbincang dan memujuk mereka… untuk mereka memahami kenapa usul ini perlu dibuat dan bersama kita.
“Tapi pada ketika itu mereka memang tidak mahu menerima sebarang penjelasan daripada kita dan justifikasi daripada pihak kerajaan kenapa kita perlu bawa usul ini ke Sidang DUN.
“Jadi dari situ kita nampaklah degil dia (PH) ini macam mana. Konsep pegangan prinsip bagi mereka ketika itu adalah untuk perkara-perkara tertentu, apa-apa pun parti dia dulu, rakyat ni kedua. Rakyat mereka tak kisah pun masa itu.
“Maksudnya susah nak urus mereka ini, dia tegak dia je lah, dia tak fikir orang keliling, dia tak fikir kawan-kawan lain, dia tak fikir keadaan semasa. Jadi kita hormatilah keputusan dia,” katanya kepada SuaraTV.



