KUALA LUMPUR – Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) yang dilaksanakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus menunjukkan impak positif apabila lebih 4,300 pekebun kecil persendirian menerima manfaat dengan nilai pembiayaan mencecah RM190.13 juta setakat 30 Jun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sehingga tarikh berkenaan seramai 4,364 pekebun kecil telah menyertai program itu melibatkan kawasan seluas 12,145.51 hektar.
Menurut beliau, TSPKS 2.0 diperkenalkan bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit yang telah melepasi umur ekonomi sekali gus meningkatkan produktiviti ladang, hasil tuaian dan pendapatan mereka.
“Program ini merupakan antara inisiatif penting kerajaan untuk memperbaharui kawasan tanaman sawit negara agar terus produktif dan berdaya saing dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan keseluruhan RM200 juta bagi pelaksanaan program itu, meliputi RM100 juta pada 2024, RM50 juta pada 2025 dan RM50 juta bagi tahun ini.
Daripada peruntukan tahun 2026, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil sehingga 30 Jun lalu.
Noraini berkata, pelaksanaan TSPKS 2.0 turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula sawit negara daripada 2.0 peratus pada 2024 kepada 3.4 peratus pada 2025.
Menurut beliau, bagi mencapai sasaran kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus setahun menjelang 2030, kementerian akan terus memperluaskan pelaksanaan program tersebut di seluruh negara.
Selain itu, katanya, penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi akan dipergiatkan, di samping memperkasakan peranan Pegawai TUNAS Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam memberi khidmat nasihat teknikal kepada pekebun kecil.
Beliau berkata, kementerian turut memberi penekanan kepada penggunaan mekanisasi dan automasi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
Pada masa sama, penyertaan pekebun kecil secara berkelompok melalui Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) akan terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan mereka menguruskan ladang secara lebih cekap dan mampan.
Noraini berkata, penanaman semula merupakan pelaburan jangka panjang yang penting bagi memastikan hasil yang lebih tinggi, pendapatan yang lebih baik serta menjamin kelangsungan industri sawit negara.
“KPK kekal komited memastikan industri sawit Malaysia terus produktif, berdaya saing dan mampan, di samping meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil sebagai tulang belakang industri ini,” katanya.



