PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan enam Pembesar Negeri untuk menggantung sementara prosiding hina mahkamah (komital) yang difailkan oleh Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan terhadap mereka sehingga rayuan diputuskan.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai YA Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama YA Dato’ Ahmad Kamal Md. Shahid dan YA Dato’ Sri Latifah Mohd Tahar.
Susulan keputusan tersebut, semua prosiding lanjut di Mahkamah Tinggi Seremban berkaitan tindakan hina mahkamah terhadap enam Pembesar Negeri itu, termasuk pemfailan dokumen dan tarikh pendengaran yang telah ditetapkan, digantung sementara sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan terhadap rayuan utama.
Enam Pembesar Negeri yang terlibat ialah YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Thahak, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad, YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah, YTM Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Yasin, YTM Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan YAM Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
Prosiding itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Julai lalu yang membenarkan permohonan Setiausaha DKU Negeri Sembilan untuk memulakan tindakan hina mahkamah terhadap enam Pembesar Negeri berkenaan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, enam Pembesar Negeri berkenaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan serta mengemukakan Notis Usul bagi memohon penggantungan sementara prosiding. Mereka berhujah rayuan tersebut berisiko menjadi tidak bermakna sekiranya prosiding hina mahkamah diteruskan sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan.
Dalam permohonan itu, mereka turut memohon supaya semua arahan dan tarikh yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi, termasuk pemfailan afidavit serta pendengaran berkaitan prosiding hina mahkamah, ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu bermakna tindakan hina mahkamah terhadap enam Pembesar Negeri tidak akan diteruskan buat masa ini sementara rayuan mereka didengar dan diputuskan.
Prosiding berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang yang timbul susulan pertikaian berkaitan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, yang sebelum ini mencetuskan krisis perlembagaan negeri sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri lebih awal.


