KUALA LUMPUR – Seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggesa bekas Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu menarik balik kenyataannya yang mendakwa hanya masyarakat Orang Asli berasal dari tanah ini, manakala semua kaum lain termasuk Melayu berasal dari luar.
Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail dari Fakulti Undang-Undang UKM berkata, dakwaan itu bukan rumusan sejarah yang cermat dan berasaskan ilmu, sebaliknya merupakan penyederhanaan melampau terhadap sejarah manusia, pembentukan bangsa dan perkembangan tamadun di Alam Melayu.
Menurut beliau, kenyataan mengenai asal-usul sesuatu kaum tidak mempunyai nilai ilmiah sekiranya tidak menjelaskan wilayah rujukan, tempoh masa dan maksud sebenar istilah “berasal dari luar”.
“Jika sejarah manusia diundur cukup jauh, hampir semua masyarakat pernah berpindah, bercampur dan menyerap unsur masyarakat lain. Perpindahan purba tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu bangsa sebagai ‘pendatang’ dalam pengertian politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kajian genom terhadap masyarakat Melayu sendiri menunjukkan wujudnya percampuran beberapa unsur keturunan termasuk Austronesia dan Melayu Proto, namun dapatan itu sama sekali tidak membawa kepada kesimpulan bahawa orang Melayu ialah orang asing di Semenanjung.
Sebaliknya, katanya, pembentukan sesuatu bangsa merupakan proses sejarah yang panjang dan bukannya bergantung kepada konsep “ketulenan darah”.
Mengulas dakwaan Ronnie yang membezakan Orang Asli dan Melayu, Dr Shahrul berkata kenyataan itu turut mengelirukan kerana masyarakat Orang Asli sendiri terdiri daripada pelbagai kelompok.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membahagikan masyarakat Orang Asli kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang merangkumi 18 suku, malah JAKOA sendiri mengakui sebahagian masyarakat Melayu Proto mempunyai persamaan tertentu dengan orang Melayu.
“Ini tidak bermaksud semua orang Melayu ialah Orang Asli menurut undang-undang, tetapi menunjukkan sejarah penduduk Semenanjung jauh lebih kompleks daripada gambaran bahawa pada suatu ketika hanya terdapat Orang Asli sebelum semua orang Melayu datang dari luar,” katanya.
Beliau turut menegaskan sejarah Melayu tidak bermula selepas kemerdekaan pada 1957 kerana kewujudan Kesultanan Melayu, bahasa Melayu, adat, institusi pemerintahan dan jaringan perdagangan telah berakar di rantau ini sejak berabad-abad sebelum pembentukan negara Malaysia.
Malah, katanya, pengiktirafan UNESCO terhadap sejarah Melaka membuktikan kewujudan Kesultanan Melayu sejak abad ke-15.
Dr Shahrul berkata perpindahan masyarakat Minangkabau, Bugis, Jawa, Aceh dan kelompok serumpun lain dalam lingkungan Alam Melayu juga tidak boleh disamakan dengan penghijrahan antara negara moden kerana sempadan negara ketika itu belum wujud.
Beliau turut menjelaskan bahawa kedudukan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan tidak bergantung kepada teori keturunan atau siapa yang tiba terlebih dahulu di Semenanjung.
Katanya, Perkara 160(2) mentakrifkan orang Melayu berdasarkan agama Islam, penggunaan bahasa Melayu, amalan adat Melayu serta syarat kelahiran, domisil dan keturunan, manakala Perkara 153 pula memperuntukkan pemeliharaan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak di samping kepentingan sah kaum-kaum lain.
Pada masa sama, perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli turut diperuntukkan secara berasingan melalui Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.
“Semua kedudukan ini boleh wujud serentak. Mengiktiraf hak Orang Asli tidak memerlukan sejarah Melayu dipadamkan,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Shahrul menggesa Ronnie menarik balik kenyataan tersebut, membetulkan fakta serta berhenti menggunakan isu asal-usul sesuatu kaum sebagai bahan provokasi.
“Politik yang sihat tidak dibina atas pertandingan siapa paling tulen darahnya, tetapi juga tidak boleh dibina dengan menafikan sejarah, tamadun dan kedudukan perlembagaan sesuatu masyarakat.
“Ronnie Liu patut menarik balik kenyataan tersebut, membetulkan fakta dan berhenti menggunakan sejarah asal-usul sebagai bahan provokasi kaum. Enough is enough,” katanya.


