LINGGI — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.32 Linggi yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjanji akan memberi keutamaan kepada kebajikan keluarga miskin serta memperbaiki kediaman mereka sekiranya diberi mandat memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, aspek perumahan dan kesejahteraan hidup penduduk akan menjadi fokus utama dalam tempoh awal pentadbirannya kerana ia membabitkan keperluan asas rakyat.
“Yang ingin saya cuba perbaiki adalah kehidupan masyarakat di sini. Masyarakat, penduduk di sini dalam kalangan keluarga miskin yang perlu saya berikan keutamaan. Rumah mereka yang perlu diutamakan.
“Ini antara usaha yang saya rasa perlu diberikan keutamaan awal kerana ini adalah tempat tinggal mereka, keselesaan mereka, kehidupan mereka.
“Jadi ini antara yang saya akan beri tumpuan di peringkat awal, mungkin tahun pertama. Pastikan bahawa masyarakat mendapat penjagaan ataupun layanan yang serupa,” katanya kepada Suara TV selepas program Santai Anak Muda Linggi bersama Tok Min di sini, hari ini.
Mengulas pencapaiannya sepanjang menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, Aminuddin berkata kawasan itu kini bukan lagi hanya bergantung kepada sektor pelancongan, sebaliknya berkembang sebagai hab perindustrian yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Di Port Dickson, kita lihat sekarang Port Dickson bukan hanya tertumpu dalam sektor pelancongan pantai, tetapi kita telah memulakan kawasan-kawasan perindustrian yang baharu yang memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak.
“Contohnya di Lukut ada kawasan perindustrian Springhill dan di Bandar Sri Sendayan kita ada Eco Business Park,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan turut diperkukuhkan menerusi pelaksanaan projek strategik baharu yang mampu meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
“Alhamdulillah, hari ini insya-Allah kita akan pastikan pelaksanaan berjalan dengan baik, sebuah pelabuhan AI yang pertama di Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata kempen PH kini memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang bagi memastikan setiap pengundi dapat ditemui dan memahami tawaran gabungan itu.
“Saya harap yang penting dapat jumpa semua pengundi dan menyampaikan hasrat kita. Saya juga buat rayuan untuk mengundi Pakatan Harapan, bukan untuk di Linggi sahaja tetapi untuk di seluruh Negeri Sembilan yang sedang menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera parti yang terus bekerja sejak awal pagi hingga lewat malam bagi memastikan manifesto dan hala tuju PH dapat disampaikan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Aminuddin menyeru pengundi yang masih belum membuat keputusan supaya menilai rekod pentadbiran PH yang menurutnya lebih mengutamakan perpaduan dan kebajikan rakyat.
“Pakatan Harapan adalah satu parti yang bekerja untuk rakyat. Kita tidak bercerita tentang peribadi individu atau menyerang kaum tertentu. Yang kita nakkan adalah perpaduan, kesaksamaan dan kemakmuran kepada negeri yang kita cintai,” katanya.


