SEREMBAN – Kempen berunsur perkauman dan agama dibawa Datuk Seri Sanusi Md Nor adalah bentuk politik lama yang wajar ditolak oleh pengundi di Negeri Sembilan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin menegaskan, beliau percaya politik perkauman dan agama tidak akan bertahan selama-lamanya, rakyat menginginkan masa depan Malaysia yang lebih berprestasi.
“Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan mampu menandingi prestasi cemerlang Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Jadi BN-PN tahu bahawa mereka tidak ada peluang langsung untuk menang maka mereka menggunakan perkauman dan isu-isu sentimen agama, dan itu adalah tidak bertanggungjawab.
“Apabila mereka tidak dapat menandingi prestasi maka mereka kena jaja retorik politik. Ini adalah sesuatu yang berbahaya dan bercorak politik lama.
“Negara memerlukan politik baru berdasarkan prestasi, yang menyatukan semua kaum dan agama. Jika Malaysia bersatu-padu, kita akan maju ke depan.
Pengarah Strategi PKR itu menegaskan, beliau menolak keras politik perkauman.
“Saya tahu bahayanya kalau kita hari-hari membakar semangat agama dan juga perkauman. Akhirnya kita menjadi buta sehingga tidak tahu memilih mana satu kerajaan berprestasi dengan berdasarkan warna kulit dan agama.
“Kalaupun dia menang, lepas itu tidak perlu buat apa-apa pun kerana dia boleh sakau bagi kroni, dia boleh buat macam-macam akhirnya menang lagi dengan menggunakan isu perkauman buatkan negara semakin merudum.
“Apa yang berlaku dengan Sanusi itu kita tahu, Sanusi baru datang kempen cakap macam-macam, itulah politik lama,” katanya.
Tze Zin juga mendedahkan peluang pelaburan baharu yang bakal masuk ke Negeri Sembilan sekiranya PH diberi mandat sekali lagi.
“Syarikat Ajinomoto menyatakan hasrat untuk mendapatkan tanah untuk membangunkan kilang di Malaysia memandangkan operasi kilang syarikat itu mempunyai masalah impak perang.
“Jadi Ajinomoto ingin pindahkan operasi ke Malaysia, satu negara yang cukup aman dan juga stabil,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan PKR Cabang Seremban, malam tadi.



