KUALA LUMPUR- Ahli Perikatan Nasional (PN) digesa menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ahli BN juga dirayu memberikan sokongan kepada calon PN sepanjang pilihan raya itu.
Katanya, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dicetuskan oleh kepemimpinan Pas di peringkat pusat dan mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama parti berkenaan.
“Ahli kita sentiasa patuh dan taat setia kepada kepemimpinan.
“Mereka bersama kita dan yakin dengan kerjasama ini kerana ia dicetuskan oleh kepemimpinan Pas di peringkat pusat serta diluluskan oleh Majlis Syura Ulama,” katanya menurut Harian Metro di Kelantan pada Jumaat.
Takiyuddin berkata, calon PN tidak akan bertembung dengan calon Umno atau BN pada pilihan raya itu.
Beliau berkata, PN sudah bersedia sepenuhnya menghadapi PRN berkenaan, dengan jentera pilihan raya dari beberapa negeri, termasuk Kelantan, sudah digerakkan ke lapangan walaupun belum mengetahui kawasan yang akan ditandingi.
“Kita sudah bersedia. Jentera kita dari pelbagai negeri, termasuk Kelantan, sudah turun ke lapangan walaupun kita masih belum mengetahui kawasan yang akan ditandingi.
“Bagaimanapun, itu bukan masalah. Kita bersedia bertanding di mana-mana sahaja kerana gabungan kita akan bertanding di semua kerusi yang diperuntukkan kepada kita,” katanya.
Mengenai pemilihan calon PN, Takiyuddin berkata, nama yang dikemukakan akan melalui proses tapisan seperti biasa oleh kepemimpinan Majlis Syura Ulama bagi memastikan calon yang dipilih sesuai untuk mewakili PN pada pilihan raya itu.
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 November ini, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.



