KUALA LUMPUR – Bersatu tidak dilibatkan dan tidak dirunding dalam menentukan pembahagian kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dan antara sesama parti anggota PN.
Bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan, Bersatu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN untuk memuktamadkan senarai calon PN.
Bahkan dakwanya, poster rasmi Majlis Pengumuman Calon PN tanpa gambar Presiden Bersatu pun telah keluar lebih awal sebelum Mesyuarat MPT Bersatu dan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN diadakan.
“Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan PN merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, memuat naik posting di Facebook beliau mendakwa Bersatu telah secara sukarela mufarakah (berpisah) dari PN dan keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri mendahului keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang akan memuktamadkan senarai calon PN bagi PRN Negeri Sembilan pada 16 Julai 2026.
“Beliau cuba memberikan gambaran bahawa Bersatu dengan sengaja mengabaikan, tidak akan hadir dan tidak akan menghormati keputusan Mesyuarat Khas MT PN.
“Mendahului apa? Mesyuarat rundingan kerusi PN ditangguhkan atas alasan remeh yang tidak munasabah dan sengaja dibuat-buat untuk menyisihkan Bersatu.
“Mungkin Annuar Musa tidak membaca surat Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 14 Julai 2026 kepada Setiausaha Agung Bersatu. Atau Takiyuddin tidak berkongsi surat tersebut dalam kumpulan whatsapp pimpinan Pas.
“Nampak tak permainan mereka?
“Penyatuan Melayu tidak boleh dicapai melalui tipu helah dan tipu daya. Matlamat tidak menghalalkan cara.
“The end does not justify the means. Let the facts speak for itself,” bidas Marzuki.
Dalam perkongsian di Facebooknya, Marzuki menghuraikan kronologi yang berlaku sehingga menyebabkan Bersatu memutuskan bertanding menggunakan logo sendiri.
“Saya cuma mahu menyatakan fakta dan kronologi peristiwa yang menyebabkan BERSATU memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Pada 12 Julai 2026 -PN mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN. Wakil Bersatu hadir dan bertanya adakah dalam PRN Negeri Sembilan, Pas akan bekerjasama dengan BN. Wakil Pas jawab ya. Wakil Bersatu kemudiannya menyatakan hasrat untuk mempertahankan dua kerusi incumbent Bersatu iaitu Labu dan Gemas atas logo PN. Jika ada rundingan dengan BN, kerusi-kerusi lain boleh dirunding. Wakil Bersatu kemudiannya meminta untuk mendapatkan mandat parti Bersatu berkenaan kerjasama dengan BN kerana ini perkara dasar. Mesyuarat ditangguhkan dan dijadualkan disambung semula pada keesokannya 13 Julai 2026.
“Manakala pada 13 Julai 2026 – Empat Ahli Parlimen Bersatu (kem RESET) menulis surat kepada ROS bertanyakan status Bersatu yang kononnya telah hilang korum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Naib Presiden Bersatu telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan MPT Bersatu tidak hilang korum dan saya sendiri telah menjelaskan perkara ini dari segi Perlembagaan Bersatu. Peguam Bersatu juga telah memberikan pandangan bahawa MPT Bersatu tidak hilang korum. Ia bukan isu.
“Kemudian masih pada 13 Julai 2026 – pada hari yang sama Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung Pas, menulis surat kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN memaklumkan mesyuarat rundingan kerusi yang sepatutnya diadakan pada malam hari yang sama ditangguhkan. Alasannya ialah kerana empat orang Ahli Parlimen Bersatu telah menghantar surat kepada ROS mempersoalkan status Bersatu.
“Selanjutnya, 14 Julai 2026 – Setiausaha Agung PN menulis surat kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung Bersatu, meminta penjelasan mengenai status Bersatu. Surat tersebut juga memberikan ultimatum sekiranya tiada penjelasan dibuat dalam tempoh dua hari, Bersatu tidak akan dilibatkan dalam sebarang pembuatan keputusan PN dan penganjuran sebarang aktiviti PN,” jelas Marzuki.
Beliau juga memaklumkan bahawa Bersatu telah membuat kenyataan rasmi menjelaskan kedudukan Bersatu dari segi perlembagaan parti dan undang-undang.
“ROS tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Bersatu yang bermakna pada masa material Bersatu masih sebuah pertubuhan yang sah dan parti anggota PN yang sah.
“Setiausaha Agung PN tidak ada kuasa dan tidak berhak untuk memberikan sebarang ultimatum kepada Bersatu. Surat ini sengaja ditulis untuk mengenepikan Bersatu secara konstruktif dalam rundingan kerusi dengan BN dan pembahagian kerusi PN,” dakwa beliau.
Marzuki memberitahu lagi, pada 15 Julai 2026 – Tersebar berita BN telah memuktamadkan rundingan kerusi dengan PN-Pas.
“Poster rasmi pengumuman calon PN pada 16 Julai 2026 memaparkan gambar-gambar pemimpin utama PN kecuali Tan Sri Muhyiddin.
“Bersatu tidak dilibatkan dan tidak dimaklumkan tentang sebarang perbincangan untuk memuktamadkan pembahagian kerusi PN.
“Pada 15 Julai 2026 – Setelah menyedari bahawa Bersatu sebagai parti anggota PN telah dengan sengaja dan dengan cara yang bercanggah dengan perlembagaan PN diketepikan dalam rundingan kerusi PN, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan menggunakan logo Bersatu,” ujarnya.



