Oleh Zihan Zari
JITRA – Melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, malah kita mahu melahirkan ramai usahawan teknikal, kata Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kedah, Mohd Ridzuan Ab. Ghapar.
Katanya, bidang kemahiran ini membuka ruang yang sangat luas untuk melatih dan memperkukuh nilai ihsan dalam diri belia supaya mereka mampu berdikari dan menyumbang semula kepada pembangunan ekonomi Madani.
“Persepsi lapuk yang menganggap bidang kemahiran sebagai pilihan kedua harus dikikis sama sekali kerana TVET kini menawarkan prospek kerjaya yang sangat luas, ”katanya lagi.
Mohd Ridzuan turut menzahirkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Rakyat Aman (SUARA)
kerana berjaya menganjurkan program yang sangat berkesan dan memberi impak besar kepada masyarakat setempat dengan kos yang berhemah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival TVET MADANI Peringkat Negeri Kedah 2026 di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi SUARA, Dato’ Hj. Hadzir Md Zain; dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya.
Karnival bertemakan “TVET Pemangkin Masa Depan Belia” yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu mendapat sambutan luar biasa daripada golongan belia, pelajar sekolah, graduan, serta ibu bapa dari seluruh pelosok negeri.
Karnival ini anjuran bersama ICU JPM Negeri Kedah; SUARA; dan POLIMAS bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing selaras dengan keperluan industri semasa.
POLIMAS menjadi medan tumpuan ribuan pengunjung bersempena dengan penganjuran karnival ini, di samping membuka lebih banyak peluang pendidikan dan kerjaya kepada golongan belia.
Sinergi Institusi dan Industri Jadi Tumpuan Utama
Terdahulu, Pengarah Wan Zulkifly Wan Zakaria menzahirkan rasa bangga atas penganjuran program signifikan ini.
Wan Zulkifly berkata, TVET pada hari ini bukan lagi sekadar satu laluan alternatif, sebaliknya merupakan antara pemacu utama pembangunan modal insan negara.
“Perubahan teknologi, pendigitalan, automasi, dan kecerdasan buatan menuntut kita menyediakan generasi muda dengan kemahiran yang relevan,”katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya.
Majlis turut menyaksikan detik penting melalui Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama antara POLIMAS dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBD) bersama beberapa rakan strategik industri.
Dalam pada itu, Pengerusi SUARA, Dato’ Hadzir Md Zain berkata, generasi muda diseru untuk merebut peluang keemasan ini memandangkan laluan teknikal kini sangat terbuka luas sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Katanya, menerusi dasar TVET MADANI, pengajian kemahiran kini boleh dikatakan hampir percuma malah pelajar di pusat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) turut disediakan elaun sara hidup demi membolehkan belia membina kerjaya di kawasan setempat tanpa perlu berhijrah jauh.
Membuka Mata Generasi Muda dan Pelajar Sekolah
Dalsm perkembangan sama, penganjuran karnival ini ternyata mencapai objektifnya apabila rata-rata pelajar sekolah yang hadir menzahirkan keterujaan dan mengakui program ini membuka minda mereka mengenai hala tuju selepas tamat persekolahan.
Bagi pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting, Jitra, Nurin Alzahra Mohd Saiful Mizan, menyifatkan karnival ini sebagai platform terbaik untuk mengenali bidang kemahiran dengan lebih dekat.
Nurin Alzahara berkata, pameran interaktif dan lawatan ke bengkel POLIMAS memberikan gambaran jelas bahawa TVET bukan lagi bidang kelas kedua, sebaliknya menawarkan teknologi canggih yang sangat menyeronokkan untuk dipelajari.
Rakan sekolahnya, Nur Iman Amani Abdul Manaff, yang juga pelajar Tingkatan 4, berkongsi pandangan yang sama.
Beliau menyatakan bahawa taklimat serta khidmat nasihat yang diberikan oleh para pensyarah dan wakil industri membantunya merancang laluan kerjaya masa depan dengan lebih awal.
“Malah, kewujudan peluang menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dalam bidang teknikal membuatkannya lebih berkeyakinan untuk memilih TVET sebagai laluan akademik utama selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak, ”katanya.
Sepanjang satu hari program berlangsung, pelbagai pengisian menarik telah diaturkan termasuk sesi Temuduga Terbuka bersama majikan industri, Pameran & Khidmat Nasihat TVET, Lawatan Bengkel, Bual Bicara Kerjaya, serta reruai jualan keusahawanan.
Pihak penganjur berharap agar impak positif daripada karnival ini terus melonjakkan keyakinan ibu bapa untuk memartabatkan bidang kemahiran demi mencorakkan masa depan generasi MADANI. – SUARA.TV



