Oleh Zihan Zari
ROME, ITALY – Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, Nur Shazwani Mohd Salleh telah berjaya meletakkan Malaysia di persada antarabangsa apabila meraih pengiktirafan FAO 100 Women Heroes in Agrifood Systems and Rural Development 2026 di Plenary Hall, Ibu Pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dekat sini, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Nur Shazwani berjaya memahatkan namanya di antara 100 wanita disenaraikan dalam laman rasmi FAO sebagai wakil Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij itu.
Pengiktirafan ini bersempena dengan sambutan Tahun Antarabangsa Wanita Peladang 2026 (International Year of the Woman Farmer 2026) untuk memperkasa wanita dalam sistem agromakanan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah FAO, Dr. Qu Dongyu telah menyampaikan pengiktirafan ini kepada 100 wanita penerima dari seluruh dunia termasuk Nur Shazwani wakil Malaysia atas sumbangan mereka dalam sektor agromakanan dan pembangunan luar bandar.
Kejayaan ini turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Itali merangkap Wakil Tetap Malaysia ke FAO, TYT Dato’ Shahabudeen Adam Shah.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi hantaran di laman media sosial telah merakamkan ucapan tahniah kepada Nur Shazwani atas pencapaian yang sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa
Menurut kementerian, pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan dan kepimpinan wanita Malaysia dalam memperkukuh sistem agromakanan, memelihara sumber semula jadi serta memperkasakan komuniti luar bandar di peringkat global.
“Pencapaian luar biasa itu selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara (DAN 2021–2030) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030.
“Malaysia telah mengemukakan sembilan pencalonan, termasuk tiga daripada Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) telah dilaksanakan melalui semakan kelayakan, penilaian oleh pihak pengurusan kanan serta dua pusingan perbincangan sebelum senarai penerima akhir diluluskan, dan Nur Shazwani antara yang berjaya terpilih,”menurutnya.
Katanya, proses pemilihan yang kompetitif di peringkat global membabitkan 609 pencalonan daripada 131 negara anggota FAO.
“Pengiktirafan ini turut mengetengahkan peranan wanita dalam memperkukuh keselamatan makanan, memperluas akses pasaran, memelihara pengetahuan tradisional dan membangunkan peluang ekonomi komuniti luar bandar.
“Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi buat seluruh warga tani dan wanita Malaysia untuk terus menerajui inovasi serta pertanian mampan,”katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim mengucapkan tahniah atas kejayaan dan menyifatkan pencapaian itu mengangkat nama Jabatan Pertanian Terengganu di peringkat antarabangsa.
Jabatan Pertanian Terengganu turut mengucapkan tahniah dan merakamkan penghargaan atas pengiktirafan antarabangsa yang diterima Nur Shazwani serta berharap ia menjadi inspirasi kepada warga pertanian untuk terus memperkasa sektor agromakanan negara. – SUARA.TV



