Kejayaan JS-SEZ Hasil Kerjasama Putrajaya dan Johor, Bukan Milik Satu Pihak – Fahmi

JOHOR BAHRU — Kejayaan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sering menjadi antara fokus kempen Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebenarnya merupakan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi itu berkata projek strategik yang menjadi antara agenda utama pembangunan Johor itu hanya dapat direalisasikan apabila kedua-dua kerajaan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Saya melihat kejayaan JS-SEZ bukanlah hasil usaha satu pihak semata-mata. Ia merupakan kejayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang saling melengkapi.

“Inisiatif untuk menggerakkan JS-SEZ bermula dengan iltizam politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekiranya tiada komitmen daripada Kerajaan Persekutuan, sudah tentu projek sebesar ini sukar direalisasikan,” katanya ketika ditemui dalam Wawancara Khas Suara TV bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Fahmi berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan menjadi pemangkin utama kepada pembentukan JS-SEZ, Kerajaan Negeri Johor turut memainkan peranan penting khususnya dalam aspek tanah, perancangan pembangunan serta pelaksanaan projek di peringkat negeri.

Beliau berkata, atas sebab itu kejayaan projek berimpak tinggi tersebut perlu dilihat sebagai pencapaian bersama, bukannya dijadikan bahan untuk memberi kredit kepada satu pihak sahaja.

“Kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing. Apa yang penting ialah setiap pihak perlu diberikan penghargaan yang sewajarnya. Saya tidak bersetuju sekiranya kejayaan JS-SEZ digambarkan seolah-olah berpunca daripada satu pihak sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan lebih banyak pelaburan dapat dibawa masuk ke Johor, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri, termasuk Johor, malah pelbagai bentuk sokongan dan peruntukan terus disalurkan bagi mempercepatkan agenda pembangunan.

“Kerajaan Persekutuan juga telah berkali-kali menegaskan bahawa tiada mana-mana negeri dianaktirikan. Malah, pelbagai peruntukan dan sokongan terus disalurkan kepada Johor bagi memastikan pembangunan negeri ini dapat dipercepatkan.

“Saya berharap siapa juga yang diberi mandat mentadbir Johor selepas pilihan raya ini akan terus menjalinkan hubungan kerja yang erat dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat