JOHOR BAHRU — Pakatan Harapan (PH) berpeluang membentuk kerajaan negeri sekiranya lebih ramai rakyat Johor keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kadar keluar mengundi akan menjadi faktor penting dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri, namun mengingatkan bahawa beberapa dinamika politik semasa turut akan mempengaruhi keputusan pilihan raya.
“Saya berpandangan peluang Pakatan Harapan akan menjadi lebih cerah sekiranya lebih ramai rakyat pulang mengundi. Namun kita juga perlu mengambil kira beberapa dinamika politik semasa, termasuk perkembangan dalam Perikatan Nasional yang mungkin turut mempengaruhi corak pengundian.
“Secara asasnya, saya melihat senario paling munasabah ialah keputusan pilihan raya tidak banyak berubah daripada kedudukan sedia ada,” katanya.
Menurut beliau, dalam senario terbaik, PH mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri, namun apa jua keputusan PRN Johor tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Namun dalam senario terbaik, Pakatan Harapan berpeluang membentuk kerajaan negeri.
“Walau apa pun keputusannya, ia tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kerana keutamaan kerajaan ialah memastikan kestabilan politik dan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu ekonomi rakyat,” ujarnya.
Fahmi berkata demikian dalam Wawancara Khas bersempena dengan PRN Johor Ke-16 terbitan Suara TV.
Mengulas isu yang paling banyak dibangkitkan rakyat sepanjang tempoh berkempen, Fahmi berkata beliau mendapati kebanyakan penduduk mahu pembangunan negeri diagihkan secara lebih seimbang dan tidak hanya tertumpu di Johor Bahru.
“Sebelum ini saya sering menganggap apabila menyebut Johor, tumpuan utama ialah Johor Bahru.
“Namun selepas turun ke pelbagai kawasan sepanjang tempoh kempen, saya mendapati ramai penduduk di daerah-daerah lain melihat pembangunan masih banyak tertumpu di Johor Bahru,”katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut memberi kesan kepada peluang pekerjaan apabila masih ramai penduduk terpaksa berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari rezeki.
“Saya pernah bertemu sebuah keluarga yang tinggal berjauhan kerana suaminya bekerja sebagai pengimpal di Johor Bahru, manakala isterinya menjalankan perniagaan kecil di kampung.
Situasi seperti itu membuatkan saya berfikir bahawa masih terdapat jurang peluang pekerjaan antara Johor Bahru dengan daerah-daerah lain,” jelasnya.
Menurut Fahmi, kerajaan perlu memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur digital serta ekonomi setempat supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di seluruh Johor.
“Bagi saya, jurang pembangunan antara Johor Bahru dan daerah-daerah lain perlu dirapatkan. Kita mahu melihat Johor terus maju, tetapi bukan hanya tertumpu kepada Johor Bahru semata-mata. Johor perlu dibangunkan secara menyeluruh agar setiap daerah turut menikmati limpahan pembangunan,” katanya.
Mengakhiri wawancara, Fahmi berharap kerajaan yang bakal dipilih rakyat selepas PRN Johor akan terus menjalinkan hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan lebih banyak pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan dapat dibawa ke negeri itu.



