KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua pihak supaya tidak membawa kempen politik ke tahap yang boleh menjejaskan kestabilan negara, meskipun budaya berbalas sindiran antara parti yang bertanding adalah lumrah dalam pilihan raya.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata, perbezaan pandangan dan usik-mengusik dalam politik bukan suatu masalah, namun serangan bersifat terlalu peribadi perlu dielakkan kerana tidak mencerminkan budaya politik yang matang.
“Jangan sampai ia merosakkan negara. Usik-mengusik antara satu sama lain itu tidak ada masalah. Saya usik orang, orang usik saya, tiada isu. Tetapi jangan terlalu peribadi kerana ia tidak elok.
“Orang tua-tua kata, ‘muka berpandangan, budi kedapatan’. Jadi, janganlah melampaui batas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama masyarakat dan jentera Barisan Nasional (BN) di Tiram, lapor Harian Metro di Tebrau pada Isnin.
Hadir sama, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Mohamad berkata, perkara paling utama ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara kerana ia menjadi asas kepada keyakinan pelabur asing dan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, Malaysia kini menikmati kebanjiran pelaburan asing hasil keyakinan terhadap suasana politik dan keselamatan negara yang stabil.
“Jangan kita menggugat kestabilan negara yang menjadi tunggak kepada kebanjiran pelaburan. Pelabur asing datang ke negara kita kerana mereka melihat Malaysia stabil dan aman.
“Tahun lalu, Malaysia juga menjadi negara paling ramai menerima pelancong di ASEAN dengan 42 juta pelawat, mengatasi Thailand. Itu berlaku kerana dunia melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan stabil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya persaingan politik tidak menyebabkan rakyat akhirnya menanggung kerugian sendiri.
“Jangan disebabkan masalah kecil, kita merugikan diri sendiri. Akhirnya kita semua akan rugi.
“Pilihan raya tetap pilihan raya. Pengundi Johor, pilihlah parti yang dirasakan selesa dan yang telah terbukti mampu mengurus negeri dengan baik,” katanya.


