Harga minyak sawit diunjur kukuh hingga RM4,800 satu tan pada separuh kedua

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus bergerak dalam keadaan tidak menentu tetapi kekal kukuh pada separuh kedua 2026, disokong oleh peningkatan permintaan global, potensi penyusutan imbangan bekalan dan permintaan serta risiko cuaca akibat fenomena El Niño.

BIMB Securities Research berkata, harga spot MSM keluaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi penghantaran tempatan mencatat purata kira-kira RM4,330 satu tan pada separuh pertama 2026, sejajar dengan unjuran purata harga MSM sebanyak RM4,400 satu tan bagi tahun kewangan 2026.

Katanya, memasuki separuh kedua tahun ini, harga MSM dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4,200 hingga RM4,800 satu tan dengan purata sekitar RM4,500 satu tan, iaitu peningkatan kira-kira empat peratus berbanding separuh pertama tahun ini, meskipun pengeluaran Malaysia dijangka mencapai kemuncak bermusim pada suku ketiga 2026.

“BIMB Securities Research berkata, harga MSM dijangka terus disokong oleh tiga pemangkin utama iaitu permintaan minyak makan yang lebih kukuh berikutan peningkatan mandat biodiesel global, potensi pengetatan imbangan bekalan dan permintaan minyak sawit dunia serta risiko El Niño pada separuh kedua 2026 yang boleh mengehadkan pertumbuhan pengeluaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan, menurut BH pada Isnin.

Menurut BIMB Securities, pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia yang bermula 1 Julai lalu dijangka meningkatkan penggunaan biodiesel kepada kira-kira 20.1 juta kiloliter setahun berbanding 15.64 juta kiloliter di bawah program B40.

Perubahan itu bersamaan tambahan permintaan biodiesel berasaskan sawit sekitar 3.5 juta hingga empat juta tan atau kira-kira empat hingga lima peratus daripada pengeluaran minyak sawit global.

Katanya, pelaksanaan B50 dijangka dilakukan secara berperingkat sepanjang separuh kedua tahun ini, namun langkah itu mengukuhkan prospek permintaan minyak sawit dalam tempoh sederhana.

Pada masa sama, mandat B15 di Malaysia turut dijangka meningkatkan permintaan domestik dengan tambahan penggunaan biodiesel berasaskan sawit sekitar 300,000 tan setahun atau bersamaan 1.5 peratus daripada pengeluaran MSM tahunan negara.

Selain itu, BIMB Securities Research berkata, prospek bekalan dan permintaan minyak sawit global dijangka menjadi lebih ketat walaupun industri memasuki musim pengeluaran tinggi pada suku ketiga tahun ini, dengan pengeluaran MSM Malaysia diunjurkan kekal sekitar 20.19 juta tan, manakala Indonesia hanya berkembang sekitar dua hingga tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menunjukkan nisbah stok kepada penggunaan minyak sawit global dijangka menyusut kepada 19.7 peratus bagi 2025/2026 sebelum terus berkurangan kepada 18.8 peratus pada 2026/2027.

Pada masa sama, jurang diskaun minyak sawit berbanding minyak kacang soya yang semakin melebar dijangka meningkatkan daya saing minyak sawit terutama dalam kalangan negara yang sensitif terhadap harga.

BIMB Securities Research turut menjangkakan fenomena El Niño menjadi antara faktor utama yang berpotensi menyokong harga MSM mulai penghujung separuh kedua 2026.

Berdasarkan unjuran terkini Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), keadaan El Niño dijangka bertambah kuat menjelang musim sejuk hemisfera utara 2026 hingga 2027 dengan kebarangkalian sekitar 63 peratus untuk menjadi fenomena yang sangat kuat.

Katanya, walaupun kesan cuaca panas dan kering terhadap pengeluaran sawit lazimnya hanya dapat dilihat selepas enam hingga 12 bulan, pengalaman El Niño 2015/2016 menunjukkan hasil tandan buah segar Malaysia merosot 14 peratus manakala purata harga MSM meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat