KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan memohon maaf kepada Institusi Undang Yang Empat atas keterlanjurannya bergurau menyebut Anthony Loke sebagai ‘Tok Undang’ baru-baru ini.
Menurut Ahmad Shahir Mohd Shah, sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang yang menjadi teras identiti negeri ini, beliau memandang serius penggunaan gelaran tersebut.
“Ini kerana ia melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Bagi memahamkan semua pihak berkenaan situasi semasa Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan(PH) Negeri Sembilan, saya mulakan dengan permohonan maaf kepada Datuk Undang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan YB Anthony Loke dengan memetik gelaran yang diberikan dalam media sosial kepada beliau ‘Tok Undang’,” katanya dalam kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian di Seremban.
Jelas beliau, atas kekhilafan tersebut, beliau menginsafi dan tidak akan mengulanginya lagi.
Tegas Ahmad Shahir, PH sentiasa menghormati dan mempertahankan kemuliaan institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti serta kebanggaan Negeri Sembilan.
Namun jelasnya, penggunaan gelaran tersebut atau naratif itu telah pun dimainkan oleh pelbagai individu di media sosial sejak 27 April lagi.
“Perkembangan yang berlaku selepas 13 Jun lalu menunjukkan bahawa naratif tersebut terus dimainkan dan disebarkan secara meluas oleh pelbagai platform media sosial yang mempunyai kecenderungan politik tertentu, khususnya di Negeri Sembilan.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menafikan perkara ini, saya ingin menegaskan bahawa semua hantaran, komen dan bahan berkaitan telah direkodkan serta disimpan sebagai rujukan,” katanya.
Ahmad Shahir berkata, fakta dan bukti tersebut membolehkan rakyat menilai sendiri bagaimana naratif itu bermula.
Tambahnya, tindakan membiarkan gelaran yang menyentuh sensitiviti institusi Undang digunakan secara terbuka dan berterusan tanpa sebarang teguran juga menimbulkan persoalan tentang sejauh mana komitmen pihak-pihak tertentu dalam mempertahankan kemuliaan institusi adat yang mereka dakwa sebagai garis merah perjuangan mereka.
“Pendedahan ini bukan bertujuan memanjangkan polemik politik, sebaliknya untuk menjelaskan fakta dan kronologi sebenar kepada rakyat.
“Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Negeri Sembilan untuk menilai sendiri siapakah yang mula memainkan naratif ini dan siapakah yang benar-benar konsisten dalam mempertahankan kemuliaan institusi Undang daripada dijadikan bahan sindiran atau alat percaturan politik,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak supaya memastikan institusi adat yang menjadi kebanggaan negeri ini terus dihormati, dipelihara dan dipertahankan tanpa mengira latar belakang politik.
Ujarnya, adat dan warisan yang telah sekian lama menjadi tunjang Negeri Sembilan wajar diangkat sebagai simbol perpaduan, bukannya dijadikan bahan perbalahan atau persaingan politik sempit.
“Saya akan menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan kepada pemilik-pemilik akaun tersebut berdasarkan akta yang ada dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.



