KUALA LUMPUR – Tiada negara yang mahu menerima kehadiran pelarian Rohingya khususnya bagi tujuan penempatan semula golongan etnik tersebut.
Situasi itu berikutan geopolitik dunia semasa dan sentimen Islamofobia yang menyebabkan negara-negara terlibat enggan menerima pelarian beragama Islam.
Menurut laporan Utusan, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, keadaan itu juga menyebabkan Malaysia berdepan cabaran besar untuk menempatkan semula pelarian Rohingya dari negara ini ke negara ketiga.
Jelas Syed Hamid, Malaysia telah lama bekerjasama dengan negara-negara ketiga terbabit namun penerimaan terhadap pelarian beragama Islam kini semakin berkurangan khususnya di negara-negara Eropah dan juga Amerika Syarikat.
“Dalam keadaan sekarang, tidak banyak negara mahu menerima pelarian Islam kerana faktor geopolitik semasa dan sentimen Islamofobia,” katanya memetik akhbar itu.
Syed Hamid menambah, peluang untuk menempatkan pelarian Rohingya di negara-negara ketiga juga semakin terhad berikutan perubahan dasar imigresen dan peningkatan sentimen antipelarian.
Pada masa sama katanya, tindakan Myanmar yang enggan mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyat negara itu tetap menjadi faktor utama sekali gus menyukarkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan.
“Isu ini menjadi lebih rumit kerana majoriti Rohingya tidak mempunyai kewarganegaraan selepas dinafikan status rakyat oleh Myanmar.
“Selagi mereka dianggap stateless dan Myanmar tidak menerima mereka kembali, komuniti antarabangsa perlu terus mencari penyelesaian yang realistik dan berperikemanusiaan,” jelasnya.
Sementara itu, pakar kriminologi dan strategi pertahanan, Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, cadangan menghantar pelarian ke negara ketiga perlu dinilai secara menyeluruh kerana melibatkan kos kewangan dan logistik yang tinggi selain memerlukan kerjasama negara penerima.
Katanya, pelaksanaan langkah tersebut bukan sahaja memerlukan peruntukan besar untuk urusan pengangkutan dan penempatan semula malah proses rundingan dengan negara ketiga juga boleh mengambil masa yang panjang.
“Pada peringkat ini, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan sempadan yang lebih berkesan bagi mengelakkan kemasukan pendatang tanpa izin secara berterusan.
“Kawalan yang ketat di pintu masuk negara dilihat sebagai langkah lebih praktikal untuk menangani isu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pelarian termasuk komuniti Rohingya perlu mengambil kira keadaan semasa di negara asal serta kesediaan negara lain untuk menerima mereka.
“Perkara ini perlu dibincangkan bersama pihak berkaitan, termasuk agensi antarabangsa dan badan yang menguruskan hal ehwal pelarian bagi memastikan penyelesaian yang dicapai bersifat mampan dan mematuhi prinsip kemanusiaan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar penempatan ke negara ketiga oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terlalu rendah bagi pelarian termasuk Rohingya.
Keadaan itu antara punca golongan itu kekal berada di tengah-tengah masyarakat tempatan dalam tempoh yang lama.
Katanya, UNHCR mempunyai dua tugas hakiki iaitu mendaftar pelarian dan mencari negara ketiga untuk penempatan semula namun statistik menunjukkan angka pengeluaran kad pelarian oleh badan itu jauh lebih besar berbanding jumlah individu yang berjaya dihantar keluar.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiada data muktamad mengenai jumlah sebenar etnik Rohingya yang berada di negara ini.
Bagaimanapun jelasnya, terdapat seramai 5,814 orang warga Myanmar dari etnik Rohingya yang direkodkan berada di depot imigresen di seluruh negara setakat 10 Jun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 4,012 orang adalah lelaki dewasa, 885 orang wanita dewasa, 532 kanak-kanak lelaki dan 385 orang kanak-kanak perempuan.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan statistik setakat April lalu, terdapat seramai 219,472 pemegang kad UNHCR di negara ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 197,591 adalah warga Myanmar dan 128,200 daripadanya merupakan etnik Rohingya.



