Eksport koko RM18.33 bilion, kerajaan mahu pekebun tempatan raih manfaat lebih besar – Noraini Ahmad

MELAKA: Kerajaan mahu pertumbuhan industri koko negara yang mencatat nilai eksport RM18.33 bilion pada 2025 turut diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Beliau berkata, pengukuhan industri itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian pengeluaran, bermula daripada pekebun yang menanam koko sehingga kepada usahawan yang menghasilkan produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kita tidak mahu industri berkembang di peringkat pemprosesan sahaja, sedangkan pekebun tempatan tidak mendapat manfaat yang sewajarnya,” katanya ketika merasmikan Program A Malaysian Cocoa Affair di Mahkota Parade, di sini, hari ini.

Menurut Noraini, nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko Malaysia meningkat daripada RM15.06 bilion pada 2024 kepada RM18.33 bilion pada 2025, iaitu pertambahan RM3.27 bilion atau kira-kira 21.7 peratus.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan potensi besar industri koko untuk terus berkembang, khususnya dalam penghasilan coklat, bahan makanan dan pelbagai produk hiliran bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa di sebalik kekuatan Malaysia sebagai antara negara utama dunia dalam aktiviti pemprosesan dan pengisaran biji koko, sebahagian besar bekalan bahan mentah industri berkenaan masih diimport.

Sehubungan itu, peningkatan pengeluaran koko tempatan dan pendapatan pekebun kecil menjadi antara tiga keutamaan kementerian bagi memperkukuh industri tersebut.

Noraini berkata, melalui Lembaga Koko Malaysia, kerajaan terus menggalakkan penanaman koko secara berkelompok, memulihkan kebun kurang produktif serta menyediakan sokongan kepada pekebun kecil.

Usaha itu termasuk bantuan bahan tanaman daripada klon koko berkualiti tinggi dan insentif bagi membantu pekebun meningkatkan hasil tanaman.

“Matlamat kita jelas. Kita mahu lebih banyak koko tempatan dihasilkan, dan pada masa yang sama memastikan usaha menanam koko mampu memberikan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun,” katanya.

Selain meningkatkan pengeluaran, beliau berkata, kementerian turut memberikan perhatian kepada kebolehkesanan sumber koko bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Menurutnya, Sistem Kebolehkesanan Koko Kebangsaan sedang diperkukuh bagi mengenal pasti asal usul koko serta merekodkan pergerakannya dari kebun hingga ke peringkat pemprosesan.

Langkah itu penting apabila pembeli antarabangsa semakin menitikberatkan kaedah pengeluaran bahan mentah, termasuk pematuhan terhadap keperluan alam sekitar.

Dalam masa sama, Noraini berkata, kerajaan mahu Malaysia lebih dikenali sebagai pengeluar coklat premium dan produk koko berkualiti.

Beliau berkata, melalui Belanjawan 2027, lebih RM40 juta disediakan bagi menyokong pembangunan produk bernilai tinggi menggunakan teknologi moden, termasuk penghasilan coklat premium secara *bean-to-bar*, iaitu daripada biji koko sehingga menjadi coklat siap.

Pendekatan itu membolehkan pengusaha mengawal mutu dan rasa produk, selain membangunkan jenama sendiri untuk diperluas ke pasaran antarabangsa.

“Saya mahu melihat lebih banyak jenama coklat Malaysia berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menggalakkan penyertaan anak muda dalam industri koko yang menawarkan peluang kerjaya dan perniagaan merangkumi bidang pembuatan coklat, reka bentuk produk, pemasaran, penyelidikan serta keusahawanan.

Program A Malaysian Cocoa Affair anjuran Lembaga Koko Malaysia itu menampilkan 24 reruai pameran dan jualan, selain bengkel membuat coklat, demonstrasi pemprosesan biji koko serta pelbagai aktiviti untuk pengunjung.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat