KUALA LUMPUR – Kenyataan ahli DAP, Tajuddin Rasdi, yang melabel pendirian Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai “perkauman” hanya kerana beliau menolak kerjasama politik dengan DAP adalah tidak adil, mengelirukan dan tidak berasaskan hujah yang matang.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong mengingatkan, sebagai seorang profesor dan tokoh akademik, beliau sepatutnya memahami perbezaan asas antara kaum dan parti politik.
“DAP ialah sebuah parti politik, bukannya mewakili mana-mana kaum secara mutlak. Menolak kerjasama dengan DAP tidak bermaksud menolak masyarakat Cina, India atau mana-mana kaum lain.
“Persoalannya, sejak bila DAP menjadi wakil tunggal kepada masyarakat Cina? Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak kaum Cina? Pemikiran seperti ini bukan sahaja dangkal, malah berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman.
“Saya juga tidak pasti sama ada Prof Tajuddin benar-benar memahami sejarah apabila beliau membandingkan pendirian Onn Hafiz dengan Rundingan Damai Baling.
“Rundingan tersebut bertujuan menamatkan ancaman keselamatan negara dan konflik bersenjata yang mengorbankan nyawa rakyat, bukannya rundingan untuk membentuk kerajaan atau menjalin kerjasama politik dalam sebuah sistem demokrasi.
“Janganlah cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri,” katanya.
Choo Seong berkata, dalam amalan demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk memilih rakan politik berdasarkan prinsip, ideologi dan mandat yang diberikan oleh rakyat. Hak itu tidak eksklusif kepada DAP sahaja.
“Malangnya, sejarah politik DAP menunjukkan bahawa sesiapa yang sanggup mengikut rentak mereka akan dipuji, manakala sesiapa yang memilih haluan berbeza akan diserang dengan pelbagai label dan naratif.
“Hari ini, apabila Onn Hafiz menyatakan pendirian politiknya secara terbuka, beliau pula dituduh sebagai “perkauman”. Rakyat semakin bijak menilai dan mampu melihat corak politik seperti ini.
“Ramai mengiktiraf Onn Hafiz sebagai antara pemimpin pelapis yang progresif, sederhana dan bertanggungjawab. Sebagai Menteri Besar, beliau berhak menentukan pendirian politik yang diyakininya terbaik untuk Johor.
“Pada masa yang sama, rakyat juga berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendirian tersebut. Mereka akan menentukan melalui PRN kali ini.
“Apa yang jelas, Onn Hafiz tidak pernah melihat rakyat Johor melalui lensa perkauman yang sempit. Sebaliknya, beliau mengangkat semangat Bangsa Johor yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” jelas beliau.
Menurut beliau, sebagai ahli DAP sejak tahun 2012, Prof Tajuddin juga wajar bermuhasabah. Adakah proses pemilihan kepimpinan dalam partinya benar-benar bebas daripada pertimbangan kaum?
“Di manakah suara beliau ketika timbul pelbagai isu melibatkan kepimpinan dan ahli parti sendiri seperi Marina Ibrahim? Sebelum mempertikaikan pendirian orang lain, mungkin lebih baik beliau memberi tumpuan kepada hal rumah tangganya sendiri terlebih dahulu.
“Perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam demokrasi. Namun, budaya melabel pihak yang tidak sehaluan sebagai “perkauman” tanpa asas yang kukuh hanya akan merosakkan wacana politik negara dan memburukkan lagi polarisasi masyarakat.
“Sejarah telah mengajar kita bahawa politik perpecahan tidak pernah membawa negara ke hadapan. Cukuplah kita mengambil iktibar daripada tokoh-tokoh yang memilih jalan konfrontasi dan ideologi yang memecah-belahkan rakyat.
“Malaysia tidak memerlukan “Rashid Maidin 2.0”, katanya.
Tegas beliau, Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu merapatkan jurang, membina persefahaman dan menyatukan rakyat demi masa depan negara yang lebih stabil, makmur dan harmoni.
Rashid Maidin adalah pemimpin kanan Melayu dalam Parti Komunis Malaya.



