KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, sekiranya Pas bersedia menerima Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri, jelaskan kepada rakyat apa asas pertimbangannya.
Katanya, kalau tidak bersedia, jelaskan pula bagaimana Umno-Pas mahu membentuk kerajaan dan menentukan siapa Perdana Menteri.
“Kerana rakyat bukan sekadar mengundi parti. Rakyat mengundi untuk membentuk sebuah kerajaan dan memilih siapa yang akan memegang amanah tertinggi negara.
“PRU16 tidak sepatutnya hanya menjadi pertandingan siapa paling kuat melaungkan slogan Melayu, Islam, perpaduan atau gelombang biru.
“Rakyat perlu tahu, siapa yang akan memimpin? Apa prinsipnya? Apa rekodnya? dan Apa dasar kerajaannya? Dan apakah standard yang akan digunakan apabila menentukan siapa layak memegang jawatan Perdana Menteri?.
“Akhirnya, keputusan berada di tangan rakyat.Tetapi sebelum rakyat memberikan mandat, semua gabungan politik wajib berani menjawab soalan-soalan yang munasabah ini,” katanya.
Tegas pemipin Pakatan Harapan (PH) itu, kerusi Perdana Menteri bukan hadiah kerana menang pilihan raya sebaliknya ia amanah yang lahir daripada kepercayaan rakyat.
“Jangan ubah neraca apabila orang yang hendak ditimbang sudah menjadi kawan.
“Dulu ketika Zahid mahu menjadi TPM, 47 pertuduhan menjadi persoalan. Kalau hari ini Zahid mahu menjadi PM, apakah 47 pertuduhan itu sudah tidak lagi menjadi persoalan?
“Kalau pendirian Pas berubah, apa yang berubah? Kalau pendirian Pas tidak berubah, bagaimana Pas boleh menerima Zahid sebagai Perdana Menteri?
“Apa yang rakyat bangkit adalah persoalan konsistensi dalam prinsip yang Pas sendiri pernah gunakan.
“Persoalan kedua bersediakah rakyat menerima Zahid sebagai PM? Ini lebih besar daripada soal Pas.
“Saya tidak mengatakan Zahid bersalah. Mahkamah belum membuat keputusan sedemikian terhadap beliau.
“Tetapi fakta yang perlu diketahui rakyat ialah beliau pernah berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi dan pada 2023 diberikan DNAA dilepas tanpa dibebaskan,” ujarnya.
Mahfuz berkata, beliau melihat kenyataan dan ramalan bahawa Zahid berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan BN-PAS/PN memenangi PRU16 sebagai satu perkembangan yang wajar diberikan perhatian serius oleh rakyat.
“Menurut penganalisis politik Ong Kian Ming, sekiranya BN dan Pas/PN membentuk kerajaan selepas PRU16, beliau menjangkakan Zahid boleh menjadi calon yang mendapat sokongan Sabah dan Serawak untuk jawatan Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu membuat kesimpulan bagi pihak rakyat. Tetapi perkembangan ini menimbulkan dua persoalan besar yang wajar dijawab secara terbuka.
“Pertama: Bersediakah PAS menerima Zahid sebagai Perdana Menteri keX1? Persoalan ini bangkit kerana pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, Pas sendiri pernah mempersoalkan kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika beliau berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
“Hari ini nama orang yang sama disebut sebagai bakal Perdana Menteri Jika gabungan BN dan Pas memenangi PRU16. Maka rakyat berhak bertanya kepada Pas.
“Lebih penting, persoalan mengenai keputusan menghentikan prosiding itu belum berakhir. Pada 7 Mei 2026, Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang membawa kepada pemberhentian prosiding tersebut. Mahkamah menyatakan terdapat isu yang boleh dihujahkan dan perkara itu dikembalikan untuk pendengaran substantif di Mahkamah Tinggi.
“Malah, permohonan Zahid dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk didengar pada 8 Oktober 2026.
“.Jadi rakyat perlu bertanya apakah standard yang kita mahu untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia? Ini bukan soal menghukum seseorang sebelum proses kehakiman selesai. Ini soal keyakinan, integriti, ketelusan dan standard kepimpinan negara.
“Jangan tukar pembaris apabila orang yang hendak diukur sudah menjadi kawan Saya ingin mengingatkan semua pihak: “Jangan gunakan pembaris yang sama untuk mengukur orang lain, tetapi apabila sampai kepada kawan sendiri, pembaris itu tiba-tiba dipendekkan.”
“Kalau dahulu 47 pertuduhan dijadikan asas untuk mempersoalkan kelayakan Zahid berada di kerusi TPM, rakyat mempunyai hak yang sama untuk bertanya apabila nama yang sama disebut untuk kerusi PM.
“Prinsip tidak sepatutnya berubah mengikut kerusi. Soalan ini bukan bertujuan memerangkap Pas. Saya tidak mahu Pas melihat persoalan ini sebagai serangan terhadapnyas. Sebenarnya, soalan ini lahir daripada pendirian Pas sendiri,” kata Mahfuz.
Kata beliau, jika dulu Pas bertanya. Hari ini rakyat pula bertanya semula.
“Kalau dahulu Pas menyalakan lampu untuk melihat persoalan pada Zahid, jangan apabila cahaya lampu itu kembali menyuluh kepada Pas, jangan lampunya pula dipadamkan,” bidas beliau.



