SEREMBAN, – Pewartaan bukan satu keperluan bagi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, kata peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi.
Emirul, yang memperkenalkan dirinya sebagai peguam kepada Yamtuan ke-12, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, berkata peruntukan itu hanya mensyaratkan pengeluaran satu proklamasi dengan tandatangan Undang Yang Empat serta Menteri Besar.
Menurutnya, apabila syarat perlembagaan tersebut dipenuhi, proklamasi berkenaan sempurna dan berkuat kuasa tanpa memerlukan pewartaan.
“Warta Kerajaan berkenaan penurunan takhta Yamtuan bukan satu keperluan menurut UUTKNS 1959.
“Syarat yang ditetapkan dalam Perkara 10(2) UUTKNS 1959 hanyalah cukup sekadar satu proklamasi dikeluarkan dengan tandatangan Undang Yang Empat dan Menteri Besar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mengemukakan perbandingan dengan Perkara 9(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang yang, menurutnya, secara jelas dan nyata menetapkan bahawa penurunan takhta Raja Pemerintah hendaklah diwartakan.
Petikan peruntukan Pahang yang disertakan dalam hantaran itu menyatakan surat perintah turun takhta hendaklah diisytiharkan dalam Warta Kerajaan dan dihebahkan kepada penduduk negeri dengan seberapa segera.
Emirul berkata, kewujudan peruntukan nyata mengenai pewartaan dalam perlembagaan Pahang berbeza dengan peruntukan UUTKNS 1959 yang dirujuknya.
“Peruntukan nyata adalah mengikat.
“Oleh yang demikian, berdasarkan perbandingan tersebut, maka adalah jelas bahawa tiada sebarang peruntukan nyata berkenaan kewajipan pewartaan dinyatakan dalam UUTKNS 1959,” katanya.
Menurut beliau, keperluan yang dinyatakan dalam Perkara 10(2) perlu menjadi asas dalam menilai penyempurnaan proklamasi berkenaan.
“Maka, apabila Perkara 10(2) mensyaratkan bahawa hanya proklamasi dengan tandatangan Undang Yang Empat dan Menteri Besar sahaja, maka ia sempurna dan berkuat kuasa apabila syarat perlembagaan tersebut dipenuhi tanpa memerlukan warta,” katanya.
Beliau turut mengemukakan prinsip “Generalia specialibus non derogant” bagi menyokong hujah bahawa peruntukan umum atau amalan umum tidak boleh mengatasi peruntukan nyata perlembagaan yang dirujuknya.
Berasaskan pendirian tersebut, Emirul mempertikaikan penggunaan alasan pewartaan untuk menafikan ketetapan Undang Yang Empat yang disifatkannya telah disempurnakan menurut perlembagaan.
“Oleh yang demikian, tindakan menjadikan alasan pewartaan untuk menafikan ketetapan Undang Yang Empat yang telah sempurna menurut perlembagaan adalah salah dan melangkaui bidang kuasa (ultra vires) serta tidak berperlembagaan,” katanya.



