KUALA LUMPUR, — Datuk Tun Faisal Ismail menyindir PAS sebagai “gajah” yang kini menjadi “tikus” apabila parti itu menyatakan belum membincangkan calon Perdana Menteri, sedangkan beberapa nama pernah diketengahkan pemimpin dan sayap Pemudanya sebelum ini.
Beliau mempersoalkan kenyataan Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, yang dilaporkan berkata Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih jauh dan parti itu belum membincangkan soal calon Perdana Menteri.
Berdasarkan laporan FMT, Iskandar turut menyatakan PAS tidak perlu menjawab andaian mengenai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri ketika memberikan respons kepada Mahfuz.
Tun Faisal bagaimanapun menyifatkan pendirian tersebut sebagai tidak konsisten dengan tindakan pemimpin PAS yang sebelum ini mengemukakan beberapa nama untuk jawatan berkenaan.
“Sebelum ini, tidak timbul soal ‘keawalan’, ‘ketakutan’ atau ‘kesipuan’ dalam kalangan pemimpin PAS untuk menamakan calon PM,” katanya menerusi tulisan di Facebook.
Menurut beliau, antara nama yang pernah diketengahkan ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Mungkin Iskandar mudah lupa dan perlu diingatkan kembali tentang nama-nama yang pernah dicadangkan oleh PAS sebelum ini, termasuk melalui sayap Pemudanya,” katanya.
Beliau merujuk dakwaan Wan Saiful Wan Jan mengenai pertemuan lima pemimpin PAS, termasuk presidennya, dengan pemimpin Bersatu pada 18 Februari 2025.
Menurut Tun Faisal, Wan Saiful mendakwa Presiden PAS dalam pertemuan itu menyatakan calon Perdana Menteri pilihan parti berkenaan ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin, bukannya pemimpin PAS sendiri.
Tun Faisal turut menyenaraikan beberapa pengumuman dan cadangan selepas itu yang menurutnya memperlihatkan perubahan pendirian dalam kalangan pemimpin serta sayap parti berkenaan.
Katanya, pada 14 Ogos 2025, Ketua Pemuda PAS secara terbuka menyebut lima nama sebagai calon Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Hamzah.
Menurut beliau, Pemuda PAS kemudian mengetengahkan Tuan Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) ketika muktamarnya pada 12 September 2025.
Bagaimanapun, katanya, pada 24 Februari 2026, selepas Ahmad Samsuri mengambil alih jawatan Pengerusi PN, sayap itu mencadangkan pula nama pemimpin berkenaan.
“Jadi, pelik, mengapa kali ini Iskandar dan PAS tiba-tiba ‘menikus’ dan tidak berani menamakan calon PM?” soalnya.
Tun Faisal seterusnya mendakwa pendirian tersebut mungkin mencerminkan kurangnya keyakinan PAS terhadap kemampuan pemimpin sendiri untuk diketengahkan bagi menerajui pentadbiran negara.
Beliau turut mengaitkan pandangan itu dengan dakwaannya bahawa jawatan Ketua Pembangkang telah ditarik daripada Ahmad Samsuri dan dikembalikan kepada Hamzah.
Dalam penilaiannya, langkah tersebut menimbulkan persoalan mengenai tahap keyakinan PAS terhadap Ahmad Samsuri, meskipun pemimpin itu pernah dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri.
Kritikan Tun Faisal turut menyentuh kepimpinan PAS di negeri-negeri, termasuk keupayaan pemimpinnya di Selangor untuk melaksanakan peranan pembangkang.
Beliau berpandangan belum kelihatan pemimpin PAS di negeri itu yang mampu menandingi keberkesanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menjalankan tugas Ketua Pembangkang.
Bagi negeri-negeri dalam kelompok SG4 pula, beliau mendakwa prestasi dan pengalaman beberapa Menteri Besar PAS masih dipersoalkan, khususnya berhubung keupayaan memajukan negeri serta pengalaman mentadbir di peringkat Persekutuan.
Tun Faisal turut mengkritik Ahmad Samsuri yang disifatkannya kurang berkesan sebagai Pengerusi PN, termasuk dalam memberikan respons terhadap isu dalaman gabungan dan perkembangan negara.
Beliau mendakwa persiapan pilihan raya lewat digerakkan, manakala pengurusan gabungan berkenaan berdepan pelbagai masalah berkaitan pematuhan perlembagaan, pelaksanaan keputusan Majlis Tertinggi serta hak parti anggota.
Dalam tulisan sama, beliau turut mendakwa keputusan Majlis Tertinggi PN boleh disanggah atau diketepikan oleh Presiden PAS.
“Bayangkan jika PAS menjadi kerajaan dan PAS meneruskan sikap seperti dalam PN. Bukankah akan ada risiko kemungkinan keputusan-keputusan Jemaah Menteri disanggah dari Rusila?” katanya.



