KUALA LUMPUR – Rakyat hanya mahu lihat sebuah gerakan massa yang komited kepada isu-isu ekonomi, sara hidup, kepimpinan yang berani jujur pada rakyat serta sistem yang adil serta saksama berteras undang-undang.
Namun, siri letusan tembakan dan sindiran sesama pembangkang tidak bawa keuntungan. Ia merugikan. Yang senyum dan tepuk tangan adalah mereka dalam kerajaan, kerana tahu pembangkang berpecah. Ini perlu dihentikan kerana rakyat juga perhati apa yang sedang berlaku.
Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, sejarah telah buktikan tiada satu parti boleh menang pilihan raya dan tadbir negara. Kekuatan Barisan Nasional sejak sebelum 2018 juga begitu dengan Umno sebagai “anchor party”.
“Kebelakangan ini nampaknya Umno kembali dengan naratif solo. Tapi ramai jangka ini hanya “red herring”. Mengabui mata lawan tapi lepas mana-mana pilihan raya akan gabung balik untuk bentuk Kerajaan dengan PH. Formula cikgu dan anak murid.
“Di sinilah lahirnya ujian asid bagi Bersatu. Pemimpin Bersatu perlu betul -betul menilai apa yang sedang berlaku. Mudah bila di media sosial kita kejar like dan share tetapi hakikat di medan, rakyat lihat tiada penyatuan.
“Realitinya adalah rakyat kebanyakan telah muak dengan perangai pemimpin politik. Sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Jari mesti dituding pada kita sendiri ahli parti serta pimpinan,” katanya.
Rafique mendakwa, dikhabarkan Presiden Bersatu komited dengan iltizam untuk kukuhkan hubungan baik dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
“Tan Sri orang lama dalam politik dan beliau tahu meredakan suhu amat penting untuk gabungan PN sekarang ini. Jauh disudut hatinya, saya percaya beliau juga akui PN amat penting untuk dikekalkan.
“Pada masa sama, Bersatu juga harus akur “going solo is not an option”. Maka gabungan sedia ada iaitu PN juga perlu dipertambah.
“Pada tahun 2018, antara sebab utama gergasi yang dikenali sebagai BN tumbang adalah kerana rakyat diberi pilihan mudah yakni gabungan semua pihak dalam pasukan sama lawan Kerajaan. Waktu itu parti-parti yang anggotai PH 1.0 pelbagai latarbelakang , ego, pegangan dan halatuju.
“Namun kerana wujud keperluan selamatkan negara perbezaan kecil diketepikan. Langkah yang sama diperlukan hari ini. Penggabungan semua pihak untuk tumbangkan Kerajaan kakistokrasi.
“Pada Bersatu, perlu nilai mendalam situasi negara hari ini serta buat keputusan untuk bangsa, agama dan negara. Bersatu atau berpecah. Untungnya siapa? soal beliau.



