Sultan Selangor kekal tidak berkenan penternakan babi di Selangor

SHAH ALAM, 7 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu.

Menurut beliau, pendirian baginda mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan aktiviti itu boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sehubungan itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut berpandangan penternakan babi berskala besar mahupun kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah yang terhad dan nilai hartanah yang tinggi.

Menurut kenyataan itu, tanah di Selangor sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Baginda juga mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor yang mengambil makanan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut negara seperti Singapura juga tidak menjalankan penternakan babi, sebaliknya mengimport daging babi dari luar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat