KUALA LUMPUR – Pas Sabah mendesak kerajaan memberikan penjelasan rasmi, mendedahkan fakta sebenar dan memastikan projek yang penting kepada rakyat tidak dibatalkan sewenang-wenangnya.
Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan, Pas Sabah memandang serius kenyataan Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembatalan projek-projek di Sabah dan Sarawak.
Katanya, jika pembatalan ini dibuat secara tidak adil tanpa alasan yang munasabah, ia merupakan satu bentuk diskriminasi yang mesti dipandang serius dan disiasat segera.
“Sabah dan Sarawak bukan negeri kelas kedua dalam Persekutuan Malaysia. Rakyat Borneo berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, bukan terus dibebani jurang pembangunan sedangkan harapan mereka berulang kali dipertaruhkan.
“Justeru, Pas Sabah mendesak kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sebab pembatalan, proses membuat keputusan serta mendedahkan nama individu atau pihak yang bertanggungjawab.
“Rakyat berhak mengetahui siapa yang membuat keputusan dan atas alasan apa projek-projek berkenaan dibatalkan,” kata Adun Karambunai itu.
Aliakbar mengingatkan, kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik alasan birokrasi.
“Jika pembatalan dibuat atas faktor teknikal atau kewangan, jelaskan secara terbuka.
“Jika wujud unsur pilih kasih, diskriminasi atau penyalahgunaan kuasa, tindakan tegas mesti diambil berdasarkan hasil siasatan.
“Pembangunan adalah tangggungjawab dan amanah kerajaan kepada rakyat.
“Setiap projek yang dibatalkan membawa kesan langsung kepada kehidupan rakyat, kemudahan asas dan masa depan generasi akan datang,” katanya.
Hal demikian, Aliakbar menyatakan, Pas Sabah menegaskan bahawa tuntutan ini bukan soal sentimen kenegerian, tetapi soal keadilan.
“Jangan biarkan Sabah dan Sarawak hanya diingati ketika diperlukan, tetapi diketepikan ketika hak pembangunan diputuskan.
Pada Isnin, media melaporkan kenyataan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri yang mendakwa terdapat projek pembangunan luar bandar bagi tahun 2026 di Sabah dan Sarawak yang dibatalkan meskipun peruntukan telah disediakan.
Menurut Zahid arahan pembatalan itu dikeluarkan oleh KSU, namun beliau tidak memperincikan kementerian yang terlibat atau jumlah projek yang terjejas.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, pembatalan berkenaan bukan sekadar melibatkan projek yang sudah diluluskan tetapi turut membabitkan projek yang sudah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).


