KUALA LUMPUR, – Malaysia berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab utama pelaburan Jepun di rantau Asia Tenggara selepas negara itu merekodkan pelaburan diluluskan dari Jepun sebanyak RM7.6 bilion pada 2025, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, angka tersebut mengukuhkan kedudukan Jepun sebagai sumber pelaburan asing keempat terbesar negara, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur Jepun terhadap ekosistem industri dan dasar ekonomi Malaysia.
Zafrul berkata, kekuatan Malaysia dalam sektor pembuatan maju, semikonduktor, nadir bumi serta peralihan tenaga meletakkan negara pada posisi strategik untuk menjadi pusat utama kepada pelaburan Jepun di rantau ini.
“Bagi lebih setengah abad, perkongsian Jepun-Malaysia kekal bertahan kerana ia dibina atas kekuatan bersama.
“Malaysia secara konsisten menawarkan kualiti, kebolehpercayaan dan kepercayaan institusi yang membolehkan komitmen jangka panjang,” katanya ketika berucap pada New Japan-Malaysia Industrial Cooperation Seminar: Strengthening Industrial Partnership for a Shared Future di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia kini telah terbukti menjadi antara pusat penting kepada keselamatan ekonomi Jepun, khususnya dalam aspek daya tahan rantaian bekalan dan sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Katanya, tiga peluang utama kini menjadi teras kerjasama dua hala iaitu keselamatan ekonomi dan rantaian bekalan, peralihan tenaga serta pembangunan ekosistem teknologi dan semikonduktor.
“Kerjasama masa depan Malaysia-Jepun bukan lagi teori, tetapi sedang berlaku sekarang.
“Pelabur Jepun perlu merebut peluang ini bagi memastikan daya tahan perniagaan mereka untuk jangka panjang,” katanya.
Seminar yang dianjurkan bersama Kedutaan Jepun di Malaysia dan MIDA itu turut membincangkan isu keselamatan sumber, transformasi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM426.7 bilion pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah negara.
Perkembangan itu dilihat mengukuhkan lagi keyakinan bahawa Malaysia berpotensi muncul sebagai hab utama pelaburan Jepun serta pusat industri strategik serantau menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun hadapan. – SuaraTV



