KUALA LUMPUR- Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan laporan daripada Bloomberg pada 30 Mac 2026 berkaitan dengan tuduhan bahawa Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, prosiding telah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)
- “Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau dalam kenyataan.
Dalam hal ini juga kata Shamsul Azri, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Bloomberg terkait dengan dakwaan yang berkenaan.
Bloomberg sebelum ini melaporkan , Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mahu laporan siasatan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki tidak didedahkan segera kepada umum.
Menurut sumber yang dipetik Bloomberg, Anwar meminta pihak berkaitan menangguhkan pendedahan laporan itu sehingga siasatan berasingan terhadap dakwaan kewujudan “mafia korporat” selesai.
Kabinet pada Februari lalu mengarahkan siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada pegangan saham Azam melanggar had yang ditetapkan undang-undang.
Siasatan tersebut dikendalikan oleh jawatankuasa tiga penjawat awam kanan yang diketuai Peguam Negara sebelum hasilnya dibentangkan kepada Kabinet.



