BN-PN Negeri Sembilan ‘U-turn’, tarik balik surat berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Kerajaan Barisan Nasional–Perikatan Nasional (BN-PN) Negeri Sembilan beralih pendirian apabila Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama 10 anggota Exco bersetuju sebulat suara menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September lalu berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Berdasarkan salinan surat bertarikh 10 November 2026 yang dikemukakan kepada Suara.TV, keputusan itu dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu.

Surat berkenaan ditandatangani Ismail bersama kesemua 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Menurut surat itu, penarikan balik tersebut mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang, menurut dokumen berkenaan, mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz.

“Saya bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September 2026 tersebut,” menurut surat berkenaan.

Keputusan itu dinyatakan dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri dalam suasana aman dan teratur.

Penarikan balik itu menandakan perubahan daripada pendirian yang diumumkan Ismail pada 17 September lalu, apabila beliau mengesahkan bahawa Surat Cara Proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara oleh semua anggota Exco.

Menerusi surat terbaharu itu, Ismail bersama barisan Exco turut menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

Mereka juga mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu supaya segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat.

“Kami berpandangan bahawa usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,” menurut surat itu.

Selain Ismail, penandatangan surat tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Barisan Exco kerajaan negeri itu dibentuk pada Ogos lalu dengan lapan wakil BN dan dua wakil PN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat