KUALA LUMPUR – Blok pembangkang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincang dan membahaskan implikasi peperangan di Iran serta kesannya terhadap Malaysia dan dunia.
Ketua Pembangkang Datuk Hamzah Zainudin berkata, Ahli-Ahli Parlimen dari blok pembangkang menerima pelbagai bentuk persoalan dan reaksi dalam kalangan rakyat susulan pengumuman Perdana Menteri, semalam.
“Perkara-perkara yang dibangkitkan perlu dibincangkan secara konstruktif, dua hala dan telus — khususnya dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, bagi pihak Ahli Dewan Rakyat dari blok pembangkang, saya telah mengutuskan satu surat rasmi kepada Perdana Menteri bagi memohon pertimbangan untuk memanggil satu Sidang Khas Dewan Rakyat mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam kadar segera bagi membolehkan implikasi peperangan di Iran, serta kesannya terhadap Malaysia dan ekonomi global dibincang serta dibahas secara komprehensif,” kata Hamzah dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, permintaan ini mencerminkan komitmen dan harapan kami di Blok Pembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan negara sentiasa siap siaga mendepani cabaran ekonomi semasa, terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan, kos sara hidup, dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Dalam surat yang diutus Hamzah kepada Anwar antaranya menyebut, menyedari serta menginsafi hakikat bahawa peperangan ke atas negara Republik Islam Iran telah mengakibatkan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia dalam tempoh yang singkat.
Justeru katanya, keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia, malah turut menjejaskan kedudukan fiskal negara serta keupayaan kerajaan untuk meneruskan penyaluran subsidi dan bantuan kepada rakyat secara mampan.
“Hal demikian , bagi membuka ruang sepenuhnya kepada semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat membincang serta membahaskan perkara ini secara telus, bertanggungjawab serta berfokus kepada kepentingan rakyat dan negara, saya dengan ini bagi pihak Ahli-Ahli Dewan Rakyat Blok Pembangkang memohon agar Datuk Seri selaku Perdana Menteri dan Ketua Majlis mempertimbangkan keperluan mendesak untuk segera memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 11(3), Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Adalah menjadi harapan kami Ahli-Ahli Dewan Rakyat Blok Pembangkang agar perkara ini dapat dibincangkan secara terbuka dan menyeluruh di Parlimen, untuk membina keyakinan rakyat terhadap tahap kesiapsiagaan negara dalam mendepani cabaran ekonomi semasa terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan,” ujar Hamzah.



