Majoriti rakyat tak terkesan pengurangan kuota RON95, ramai guna cuma 100 liter saja sebulan – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan penyelarasan kuota RON95 apabila sekitar 90 peratus pengguna di negara ini hanya menggunakan kira-kira 100 liter bahan api itu setiap bulan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini bermakna kehidupan harian majoriti besar rakyat iaitu sembilan daripada 10 orang akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan.

Saifuddin berkata, langkah penyelarasan had kelayakan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini hanyalah bersifat sementara sehingga keadaan dunia kembali stabil.

Katanya, pemandu e-hailing juga tidak perlu risau kerana kuota mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan demi kelangsungan rezeki mereka.

Tambah Saifuddin lagi, walaupun langkah penyelarasan sementara had kelayakan kuota BUDI95 itu diambil majoriti rakyat sebenarnya tidak terkesan sama sekali.

Menurut beliau, bil subsidi bahan api negara yang meningkat enam kali ganda dari RM700 juta kepada RM4 bilion setiap bulan susulan konflik di Asia Barat menyebabkan kerajaan terpaksa menyeimbangkan perkara itu menerusi penyelarasan sementara kuota BUDI95.

Menteri Dalam Negeri itu menyatakan, Kerajaan Madani mengambil pendirian jelas bahawa rakyat mesti dilindungi dengan meneruskan pemberian subsidi BUDI95 walaupun dunia sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar.

Saifuddin menegaskan, kerajaan melakukan yang terbaik dengan menyerap kenaikan harga dunia supaya kos sara hidup anda tidak terjejas secara drastik.

Katanya, ketika negara lain melepaskan beban kepada rakyat, Kerajaan MADANI memilih untuk terus menjadi perisai rakyat kerana memahami betapa peritnya jika beban itu dilepaskan ke bahu rakyat.

“Dunia hari ini sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar. Lonjakan harga minyak mentah melepasi paras AS$100 setong memberi kesan besar kepada banyak negara.

“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter. Di Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini.

“Namun di Malaysia, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian yang jelas iaitu rakyat mesti dilindungi,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, sebagai sebuah ‘keluarga besar’, negara perlu membuat pilihan yang bijak dengan tidak membiarkan RM4 bilion wang rakyat ‘terbakar’ di atas jalan raya setiap bulan.

Beliau berkata, wang penjimatan subsidi itu amat diperlukan untuk membina lebih banyak sekolah, menaik taraf hospital, dan memberikan bantuan tunai terus kepada rakyat yang lebih memerlukan.

“Bagi memastikan keseimbangan ini, Kerajaan Madani menyelaraskan had kelayakan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat