Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, kumpulan pop rock tempatan, Sakura Band tampil dengan pendekatan segar menerusi single raya pertama mereka berjudul “Raya Di Kampung”, yang menggabungkan elemen nostalgia Aidilfitri dengan sentuhan muzik moden.
Lagu ini bukan sekadar karya bermusim, malah menjadi langkah baharu buat Sakura Band dalam memperluaskan identiti muzik mereka. Melalui lagu tersebut, kumpulan itu cuba membawa suasana klasik pulang ke kampung yang sering menjadi simbolik perayaan Aidilfitri dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Menurut anggota kumpulan, Melley Matius atau Mell, idea menghasilkan lagu raya sudah lama berada dalam perancangan mereka, namun hanya kini impian tersebut berjaya direalisasikan.
Beliau menjelaskan bahawa konsep lagu itu memfokuskan kepada pengalaman dan perasaan gembira apabila dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Katanya, walaupun diinspirasikan daripada lagu klasik bertemakan balik kampung, Sakura Band cuba memberikan pendekatan baharu dengan susunan muzik yang lebih kontemporari agar sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.
Dalam proses penghasilan lagu tersebut, Mell berkata mereka mengambil pendekatan yang lebih santai dan organik supaya emosi serta suasana raya dapat diterjemahkan secara semula jadi.
“Kami mahu lagu ini mudah didengar dan boleh membuatkan orang rasa teruja untuk pulang ke kampung. Yang penting, bila dengar lagu ini, orang terus rasa ‘mood’ raya,” katanya.
Dari segi muzik pula, “Raya Di Kampung” masih mengekalkan identiti bunyi Sakura Band yang sebelum ini dipersembahkan menerusi single mereka, “Polaroid”. Namun, bagi memberikan kelainan sempena Aidilfitri, elemen tradisional Melayu turut dimasukkan dalam susunan muzik lagu tersebut.
Gabungan elemen moden dan tradisional itu diharap mampu memberikan pengalaman mendengar yang segar, selain mengekalkan rasa nostalgia yang sering dikaitkan dengan lagu-lagu raya.
Selain menggambarkan kegembiraan pulang ke desa, lagu ini juga membawa mesej kepada mereka yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman ketika Syawal.
Sakura Band berharap lagu tersebut mampu menjadi pengubat rindu serta mencetuskan rasa kebersamaan walaupun ada yang menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarga.
Dari sudut produksi, “Raya Di Kampung” merupakan hasil ciptaan Nawfas bersama Melley Matius, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Melley. Lagu ini diterbitkan dengan kerjasama Sakura Band bersama Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari.
Proses adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Koh Kpro bagi memastikan kualiti bunyi yang seimbang antara elemen moden dan tradisional yang diketengahkan dalam lagu ini.
Single “Raya Di Kampung” yang diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama dan diharap mampu menjadi antara lagu yang menghidupkan suasana Aidilfitri tahun ini.



