KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru semua yang pernah bersama Umno agar kembali ke pangkuan parti.
Naib Presiden Umno itu menyatakan, rumah ini masih kukuh, bayunya masih seperti dahulu dan hujan rintik terus dihias pelangi jua.
“Kami yang tertinggal masih merindui semua kenangan dahulu sebagai sebuah keluarga.
“Umno juga merupakan pelantar yang menghubungkan sebuah penjajahan dengan sebuah kemerdekaan. Ia mengangkat sebuah bangsa daripada kemiskinan kepada bangsa yang sejahtera serta memuliakan Islam sebagai sebuah agama berkemajuan.
“Dalam segala kebaikan dan kekurangannya, Umno tetap menjadi benteng yang melindungi serta memelihara maruah bangsa,” tegas Menteri Pertahanan itu.
Menurut Khaled, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telah membuka ruang seluasnya untuk sesiapa sahaja yang telah meninggalkan Umno untuk kembali ke pangkuan Umno.
Justeru katanya, seruan tersebut wajar disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak.
“Seruan ini lahir daripada kesedaran bahawa Umno bukan sekadar sebuah pergerakan politik. Ia adalah benteng terpenting kelangsungan bangsa Melayu. Sejak penubuhannya, Umno berperanan sebagai wadah yang melindungi, memajukan dan menyatukan orang Melayu.
“Umno adalah ‘rumah besar’ yang didirikan untuk melindungi dan memajukan bangsa. Ia bukan milik sesiapa secara peribadi, sebaliknya rumah untuk seluruh bangsa Melayu. Rumah ini telah lama menyediakan bumbung dan ruang untuk bangsa Melayu berteduh, berkehidupan dan membangun persaingan.
“Dalam sebuah keluarga besar, perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu yang lumrah. Bumi mana tidak ditumpahi hujan, langit mana yang tidak menyaksikan mega mendung berarak. Namun, perselisihan tersebut tidak seharusnya menjadikan rumah ini dimusuhi. Di persadanya kita semua pernah membesar, terdidik dan mendapat perlindungan.
“Hakikatnya, sekiranya Umno diganti dengan rumah yang lain, ia tidak akan setanding, apatah lagi lebih baik. Hubungan Umno dengan orang Melayu terlalu mendalam, bagai air yang dicincang tidak akan putus,” ujar Khaled.



