MELAKA – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diramal mendahului persaingan di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya berada pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya.
Dua kerusi berkenaan ialah Kota Laksamana dan Bandar Hilir, sementara dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang PH, iaitu Ayer Keroh dan Kesidang, dikategorikan sebagai kawasan sengit.
Unjuran itu berdasarkan kajian lapangan ILHAM Centre yang mendapati gelombang biru BN-PN sedang mendominasi persaingan dengan kelebihan ketara berbanding PH.
Menurut ILHAM Centre, tiga faktor utama mengukuhkan kedudukan BN-PN ialah konsolidasi undi Melayu, moral jentera parti yang tinggi serta penerimaan positif terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Dapatan kajian turut menunjukkan perpindahan undi antara penyokong kedua-dua gabungan itu berlaku dengan baik apabila 91 peratus pengundi PN sanggup memindahkan sokongan kepada BN, manakala 78 peratus pengundi BN pula sanggup mengundi PN.
Keadaan itu menjadikan 23 kerusi DUN yang mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu semakin sukar ditembusi PH.
ILHAM Centre turut mendapati Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencatatkan penilaian kepuasan sebanyak 86 peratus, manakala kerajaan negeri memperoleh 85 peratus.
Dua program kerajaan negeri, iaitu Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang meningkatkan penerimaan pengundi terhadap pentadbiran BN.
Dalam pada itu, PH dilihat masih mampu mengekalkan sokongan teras khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kawasan bandar, namun gagal memperluas pengaruh kepada segmen pengundi baharu.
Kajian ILHAM Centre dilaksanakan dari 1 hingga 12 November lalu melibatkan 805 responden kuantitatif, lima kumpulan perbincangan berfokus membabitkan 40 peserta serta 22 informan temu bual mendalam.
Kajian merangkumi kesemua 28 DUN di Melaka dengan margin ralat persampelan 3.45 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.



