UTV panaskan suasana Celebfest Singapura, jadi tumpuan peminat hiburan Melayu

Singapura baru-baru ini menjadi saksi kepada satu fenomena hiburan yang cukup hangat apabila platform penstriman Over-The-Top (OTT), UTV, berjaya menarik perhatian ribuan pengunjung di Celebfest yang berlangsung di Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre.

Bagi mereka yang menjejak kaki ke festival hiburan dan gaya hidup popular itu, tidak sukar untuk melihat betapa ramai pengunjung berpusu-pusu ke booth UTV. Dari mereka yang sekadar ingin tahu “Apa itu UTV?” sehinggalah peminat setia yang terus memuat turun aplikasi, suasana di sekitar booth UTV jelas penuh dengan keriangan dan keterujaan.

Menariknya, UTV kini bukan sahaja boleh diakses oleh penonton Malaysia, tetapi juga warga Singapura. Dengan harga serendah SGD3.90 untuk setiap kandungan, platform ini membuka peluang kepada peminat hiburan Melayu di republik itu untuk menonton drama, rancangan hiburan, dan dokumentari tempatan tanpa perlu risau soal kos yang tinggi.

Menurut Datuk Adzliana Hasan, Presiden UTV dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, sambutan yang diterima ternyata melebihi jangkaan. “Alhamdulillah, kami sangat terharu dengan sambutan pengunjung Celebfest. Ramai yang datang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UTV, dan tidak kurang yang terus memuat turun aplikasi kami,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa fenomena ini menunjukkan bahawa kandungan tempatan Malaysia sebenarnya mempunyai peminat setia di luar negara, terutama di kalangan penonton Nusantara yang menghargai budaya dan hiburan Melayu.

Booth UTV bukan sahaja menjadi tempat maklumat dan promosi. Ia turut menjadi ruang interaktif bagi pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman menonton kandungan secara langsung. Beberapa demo interaktif, video teaser drama terbaru, dan sesi soal jawab bersama wakil UTV menjadikan booth ini antara yang paling ‘hidup’ sepanjang festival.

Dan sudah tentu, tidak lengkap Celebfest tanpa kehadiran selebriti. Fattah Amin, Amira Othman, Anna Jobling, Arfie Shah, Nora Danish, dan yang paling menjadi tumpuan, Siti Khadijah Halim, melengkapkan pengalaman pengunjung.

Siapa sangka, Siti Khadijah berjaya mencuri tumpuan dengan kehadiran peminat paling ramai. Peminat sanggup beratur panjang sejak siang hari semata-mata untuk bertemu pelakon muda ini. Sesi ‘meet and greet’ bersama Siti Khadijah berlangsung hampir dua jam tanpa henti, dengan pelbagai gelak tawa, selfie, dan tepukan mesra yang mencerminkan keterujaan pengunjung.

Selain bertemu peminat, Siti Khadijah turut mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Takdirnya Cinta, yang bakal menemui penonton secara eksklusif di platform UTV sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sambutan luar biasa ini bukan sahaja mengangkat nama UTV, tetapi juga memberi isyarat bahawa platform digital tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa. Dengan strategi yang tepat dan kandungan berkualiti, UTV dilihat sebagai jambatan yang mendekatkan penonton di rantau ini dengan hiburan Melayu yang penuh warna dan emosi.

Bagi pengunjung Celebfest, kehadiran UTV bukan sekadar menonton atau bergambar dengan selebriti. Ia adalah pengalaman budaya, satu cara untuk merasai hiburan tempatan Malaysia tanpa perlu meninggalkan Singapura. Malah, sambutan hangat ini memberi motivasi kepada UTV untuk terus mengembangkan sayapnya, membawa lebih banyak drama, rancangan, dan dokumentari yang memikat hati penonton serantau.

Jika dulu hiburan Melayu lebih banyak terhad kepada televisyen dan radio, kini dengan UTV, penonton boleh menikmati karya-karya tempatan bila-bila masa, di mana sahaja, dengan hanya beberapa klik sahaja. Dan dari sambutan Celebfest, jelas terbukti bahawa rakyat Singapura sudah bersedia menyambut kehadiran UTV dengan tangan terbuka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat