PETRONAS, PETROS dan Realiti Perlembagaan Persekutuan: Mengapa PDA 1974 Tidak Boleh Diatasi oleh OMO/DGO 2016

Perbahasan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sering kembali kepada persoalan sama: adakah kedua-dua negeri ini “rakan kongsi setara” yang membentuk Malaysia, atau negeri dalam sebuah persekutuan yang tertakluk kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan?

Perbezaan tafsiran ini bukan sekadar retorik politik. Ia kini menjadi asas kepada perdebatan besar berkaitan industri minyak dan gas — khususnya pertindihan antara kuasa PETRONAS di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan langkah-langkah negeri Sarawak melalui OMO/DGO 2016 serta pengukuhan peranan PETROS sebagai kuasa baru untuk mengawal pengagihan gas asli di Sarawak.

Untuk memahami isu ini secara objektif, kita perlu kembali kepada asas perlembagaan.

Malaysia ialah Persekutuan, Bukan Perkongsian Komersial

Menurut Oxford Classical Dictionary, konsep “persekutuan” berasal daripada foedus — perjanjian yang melahirkan satu entiti politik baharu.

Dalam konteks ini, Malaysia dibentuk melalui MA63 apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk negara baharu.

Pensyarah undang-undang Universiti Multimedia, Hafiz Hassan baru-baru ini dalam ruangan NST berkata Perkara 1 MA63 adalah bukti yang jelas bahawa Sabah dan Sarawak adalah sebuah negeri, sama seperti negeri-negeri lain di bawah Persekutuan Tanah Melayu.

Perkara 1 MA63 menyebut..

“Tanah Jajahan Borneo Utara dan Sarawak serta Negeri Singapura hendaklah dipersekutukan dengan Negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura… dan Persekutuan itu selepas ini hendaklah dinamakan Malaysia.”

Dengan kata lain, Sabah dan Sarawak memasuki persekutuan sebagai negeri, sama seperti negeri-negeri yang telah wujud di Tanah Melayu sebelum Ma63.

Struktur ini kemudiannya dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. In bermaksud, dalam sistem Persekutuan:

  • Tiada istilah “rakan kongsi” dalam erti komersial atau bukan komersial.
  • Yang wujud ialah negeri-negeri sebagai unit konstituen.
  • Kedaulatan negara terletak pada Persekutuan.

Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara. Mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengan undang-undang Persekutuan adalah terbatal.

Ini penting dalam konteks pengurusan minyak dan gas dari setiap negeri yang dijadikan sebagai hasil sumber pendapatan negara dibawah kuasa dan pengurusan Kerajaan Persekutuan.

PDA 1974: Penyerahan Hak Secara Undang-Undang

Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) digubal dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Di bawah akta ini:

  • Hak milik dan kawalan ke atas petroleum di seluruh Malaysia diserahkan kepada PETRONAS, sebuah syarikat nasional dibawah Kerajaan Persekutuan.
  • Penyerahan dibuat melalui perjanjian sah oleh negeri-negeri.
  • Sebagai balasan, negeri menerima bayaran tunai (royalti/ tunai petroleum).

Dari sudut undang-undang, PDA 1974 adalah:

  1. Undang-undang Persekutuan yang sah.
  2. Digubal di bawah kuasa Parlimen menurut Senarai Persekutuan (Jadual Kesembilan).
  3. Tidak pernah dibatalkan atau diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah.

Selagi ia PDA74 kekal sah, ia mengikat semua negeri.

OMO/DGO 2016: Kuasa Negeri atau Pertindihan Bidang Kuasa?

Sarawak melalui Oil Mining Ordinance (OMO) dan Distribution of Gas Ordinance (DGO) 2016 memperkukuh kawal selia industri minyak dan gas di peringkat negeri.

Persoalan utama ialah:

Adakah negeri boleh menggunakan undang-undang negeri untuk mengenakan lesen, kawal selia atau syarat ke atas entiti yang telah diberi kuasa eksklusif oleh undang-undang Persekutuan?

Jawapannya terletak pada doktrin “federal supremacy”.

Mengikut pakar undang-undang, jika terdapat percanggahan antara undang-undang negeri dan undang-undang Persekutuan dalam bidang yang sama, undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang negeri.

Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes terdahulu telah menegaskan prinsip ini.

Struktur persekutuan Malaysia bukan dilihat sebagai model “dual sovereignty” seperti Amerika Syarikat yang memberi ruang luas kepada negeri. Malaysia mengamalkan model persekutuan dengan kecenderungan kuat ke arah kuasa pusat.

Petroleum: Aset Negeri atau Sumber Strategik Nasional?

Sering kali hujah politik di Sarawak selalu menyatakan bahawa minyak dan gas ialah “hak negeri” dan ia perlu dikembalikan dibawah perjanjian MA63 dan perundangan negeri seperti OMO dan DGO2016.

Namun dari perspektif perlembagaan:

  • Sumber asli memang berada dalam negeri.
  • Tetapi pengurusan dan pembangunan sumber strategik boleh diletakkan di bawah kuasa Persekutuan demi kepentingan nasional.
  • Dan akta PDA74 yang diluluskan di Parlimen menunjukan undang undang Persekutuan mengatasi undang undang negeri.

Ini selari dengan rasional asal akta PDA 1974 dimana menyatukan pengurusan petroleum di semua negeri harus diselaraskan untuk mengelak perebutan kuasa dan pendapatan di antara negeri. Disamping itu, PDA74 diwujudkan untuk memastikan kestabilan pelaburan asing dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara (dalam bentuk dividen yang diberi oleh PETRONAS setiap tahun).

Menurut pemerhati dan pakar undang-undang perlembagaan, jika setiap negeri mengawal sepenuhnya petroleum masing-masing tanpa penyelarasan pusat, Malaysia berisiko menjadi konfederasi ekonomi yang tidak stabil.

PETRONAS sebagai “Golden Goose” Persekutuan

Ramai berpendapat bahawa PETRONAS bukan sekadar syarikat minyak negara (atau Nasional Oil Company), tetapi ia diwujudkan untuk:

  • Menyumbang dividen puluhan bilion ringgit kepada kerajaan Persekutuan setiap tahun.
  • Menyokong bajet nasional termasuk subsidi, pembangunan infrastruktur, dan program sosial.
  • Menjadi simbol kedaulatan dan kekuatan ekonomi negara.

Dividen PETRONAS tidak hanya menguntungkan Semenanjung. Sabah dan Sarawak juga menerima manfaat melalui peruntukan pembangunan, dana khas, dan pelaburan infrastruktur. Dah jumlah peruntukan yang Sarawak terima pernah mencecah lebih RM 1.2 billion, lebih daripada negeri negeri lain.

Anasir-anasir jahat untuk melemahkan struktur undang-undang Persekutuan yang menyokong PETRONAS akan memberi risiko yang lebih tinggi, dan turut akan menjejaskan kestabilan fiskal negara secara keseluruhan jika dibiarkan.

Blok Borneo dan Naratif “Rakan Kongsi”

Baru-baru ini kuasa politik “blok Borneo” sering dikaitkan dengan naratif bahawa Sabah dan Sarawak ialah rakan kongsi setara yang boleh merunding semula struktur kuasa pusat. Namun secara perlembagaan, pemerhati berpendapat bahawa:

  • Sabah dan Sarwak ialah negeri (dan bukan wilayah) dalam sistem Persekutuan yang sedia ada.
  • Hak mereka setara dengan hak negeri lain.
  • Sabah dan Sarawak bukan entiti berasingan yang membentuk Malaysia secara kontraktual yang boleh ditarik balik secara unilateral.

Kesetaraan itu bermaksud sama taraf dengan negeri lain — bukan lebih, dan bukan berdaulat secara berasingan.

Penyelesaian: Kerjasama, Bukan Konfrontasi Perundangan

Ini tidak bermakna hak Sabah dan Sarawak harus diketepikan. perbincangan tentang, peningkatan royalti, perkongsian hasil sumber negeri, penyertaan PETROS dalam projek upstream or downstream boleh dan wajar dirundingkan secara politik dan komersial.

Namun penyelesaian antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mesti menghormati kerangka Perlembagaan, mengelakkan pertindihan kuasa dan menjaga kestabilan pelaburan.

Konfrontasi undang-undang berpanjangan antara entiti negeri dan syarikat petroleum nasional hanya akan mencipta ketidaktentuan pasaran.

Kesimpulan: Supremasi Perlembagaan Tidak Boleh Dipolitikkan

Perbahasan mengenai PETRONAS dan PETROS dan perebutan kuasa akhirnya kembali kepada satu persoalan asas:

Adakah Malaysia sebuah persekutuan berdaulat dengan undang-undang tertinggi di peringkat pusat — atau sekadar perkongsian longgar antara negeri?

Perlembagaan adalah jelas.

Malaysia ialah Persekutuan.

PDA 1974 kekal sah sehingga dibatalkan Parlimen atau diputuskan sebaliknya oleh mahkamah.

Selagi itu tidak berlaku, PETRONAS memegang kuasa yang sah dari segi undang-undang.

Perdebatan politik boleh berlanjutan. Rundingan fiskal boleh diperhalusi. Tetapi asas undang-undang negara tidak boleh ditentukan oleh sentimen, melainkan oleh Perlembagaan itu sendiri.

Dan dalam kerangka itu, kedudukan PETRONAS kekal kukuh.

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat