HANG TUAH JAYA – Pengundi di Melaka yang tidak memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok disifatkan sebagai menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa harum di seluruh dunia.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kepimpinan Anwar ketika ini membolehkan Malaysia menjalinkan hubungan baik dengan pelbagai kuasa dunia termasuk Rusia, Amerika Syarikat, China, Arab Saudi, Iran dan Pakistan.
Menurutnya, Anwar merupakan pemimpin yang mampu menghubungkan hubungan antara pemimpin dunia ketika ini.
“Kalaulah PH tak diundi oleh rakyat Melaka, ertinya tuan-tuan menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang harum di seluruh dunia.
“Kita berbaik dengan Rusia, kita berbaik dengan Amerika, kita berbaik dengan China, kita berbaik dengan Saudi, kita berbaik dengan Iran, kita berbaik dengan Pakistan.
“Inilah pemimpin yang boleh menghubungkan semua pemimpin dunia sekarang ini,” katanya ketika berucap dalam Grand Finale Jelajah Harapan Melaka, malam tadi.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha dan komitmen Anwar dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, sambil menyifatkan Perdana Menteri itu bekerja terlalu keras.
“Ini Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya marah dia kerana dia kerja terlalu kuat, bukan marahkan hal lain hari-hari dan mengumumkan itu ini untuk rakyat.
“Inilah Perdana Menteri kita yang terkenal di dunia,” katanya.
Dalam ucapannya, Mohamad turut mengajak rakyat Melaka menolak politik berasaskan ketuanan Melayu yang dikaitkan dengan rasuah serta fahaman perkauman sempit.
Sebaliknya, beliau mahu rakyat membuat pilihan berdasarkan kebolehan, komitmen dan janji yang ditawarkan oleh calon.
“Melaka akan memulakan kembali bahawa kita tolak ketuanan Melayu yang rasuah, kita tolak kefahaman perkauman yang sempit, kita membangun dengan satu semangat baru iaitu kita mengundi berdasarkan kebolehan, komitmen, janji mereka,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu hukuman penjara dan mencadangkan supaya pendekatan pelaksanaan hukuman secara berperingkat, termasuk sebahagian tempoh hukuman dijalani di luar penjara, dipertimbangkan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu juga berkata perkara itu wajar dibincangkan secara serius, khususnya berikutan keadaan penjara yang dikatakannya sudah tidak mampu menampung jumlah tahanan.



