SEREMBAN, 5 Mac 2026 – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pemimpin yang berpegang kepada prinsip dan disiplin organisasi parti, sekali gus menolak dakwaan kononnya beliau terlalu obses terhadap jawatan Perdana Menteri.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menggambarkan Muhyiddin sebagai pemimpin yang terlalu mengejar jawatan bukan sahaja tidak tepat, malah menimbulkan persoalan baharu mengenai beberapa perkembangan politik yang didakwa berlaku di luar mandat rasmi parti.
Menurut beliau, berdasarkan kenyataan Wan Saiful sendiri, wujud perbincangan di Bangkok yang melibatkan Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama beberapa pemimpin parti lain berhubung isu perpaduan politik Melayu.
“Perkara ini menimbulkan persoalan serius kerana dalam mana-mana parti yang berdisiplin, rundingan politik yang mempunyai implikasi besar kepada parti mesti terlebih dahulu dibincangkan dalam parti dan mendapat mandat kepimpinan tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Hanifah berkata sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin mempunyai tanggungjawab memastikan setiap tindakan pimpinan parti selari dengan keputusan serta mandat parti.
Beliau menegaskan tiada mana-mana individu, walaupun memegang jawatan tinggi dalam parti, berhak bertindak mewakili parti dalam rundingan strategik tanpa pengetahuan serta persetujuan Presiden dan kepimpinan parti.
“Jika benar terdapat usaha membincangkan perpaduan politik Melayu, perkara tersebut sepatutnya terlebih dahulu dibawa kepada kepimpinan parti di bawah pengetahuan Presiden,” katanya.
Tambah beliau, Muhyiddin tidak pernah menolak sebarang usaha memperkukuh perpaduan politik selagi ia dilakukan secara telus, berdisiplin dan menghormati struktur organisasi parti.
Menurut Hanifah, isu sebenar yang timbul bukan soal menolak perpaduan, sebaliknya tindakan segelintir pihak yang didakwa mengadakan rundingan politik bersama pemimpin parti lain tanpa mandat parti.
Katanya, tindakan sedemikian merupakan pelanggaran asas disiplin dalam mana-mana organisasi politik.
Hanifah turut menyifatkan tuduhan Wan Saiful bahawa Muhyiddin kononnya tamak kuasa sebagai tidak adil dan bercanggah dengan rekod kepimpinan bekas Perdana Menteri itu.
Beliau berkata sejarah menunjukkan Muhyiddin pernah kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana mempertahankan prinsip ketika menentang skandal 1MDB.
“Malah ketika menjadi Perdana Menteri, beliau juga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan apabila merasakan mandat politik ketika itu tidak lagi mencukupi untuk beliau terus memerintah,” katanya.
Menurut Hanifah, perkara itu membuktikan Muhyiddin bukan pemimpin yang mengejar jawatan, sebaliknya seorang pemimpin yang meletakkan prinsip, kestabilan negara dan disiplin organisasi sebagai keutamaan.
Dalam masa sama, beliau berkata kenyataan terbuka Wan Saiful terhadap Presiden parti sendiri menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan serta kefahaman terhadap disiplin dan struktur kepimpinan parti.
Katanya dalam mana-mana parti politik, kepimpinan memerlukan kesepaduan, kepercayaan serta penghormatan terhadap struktur organisasi.
“Presiden parti mempunyai mandat untuk memimpin serta memastikan setiap keputusan besar dibuat melalui saluran yang betul,” katanya.
Sehubungan itu, Hanifah menegaskan rakyat perlu melihat fakta bahawa Muhyiddin telah membuktikan melalui tindakannya bahawa beliau bukan pemimpin yang mengejar jawatan, sebaliknya seorang pemimpin yang sanggup mengorbankan kedudukan demi prinsip dan kestabilan organisasi.



