Pelajar tahfiz berpeluang peroleh SKM Tahap Empat setara diploma – Zahid Hamidi

PUTRAJAYA — Pelajar tahfiz yang telah melengkapkan hafazan serta memiliki kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara dengan program diploma sebagai langkah mengiktiraf potensi mereka dalam bidang kemahiran.

Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya hari ini.

“Langkah ini membuka laluan baharu kepada lepasan tahfiz untuk menyertai bidang kemahiran profesional serta memperluaskan peluang kerjaya mereka dalam pelbagai sektor industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, mesyuarat turut meneliti pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara sebagai pemacu utama pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Ahmad Zahid berkata Majlis TVET Negara turut menetapkan sasaran baharu iaitu 70 peratus penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Sehingga Disember 2025, kadar penyertaan dalam bidang TVET telah mencapai 53.9 peratus, menunjukkan perkembangan positif ke arah mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh ekosistem TVET negara, mesyuarat turut mencapai beberapa keputusan strategik penting.

Antaranya pelaksanaan Program Digital Freelancing TVET bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membuka peluang kepada graduan TVET menjana pendapatan melalui ekonomi gig digital global.

“Selain itu, Program Rintis TVETPreneurs akan dilaksanakan dengan kerjasama Management and Science University (MSU) bagi melahirkan usahawan dalam kalangan graduan TVET melalui latihan dan bimbingan industri,” katanya.

Mesyuarat turut bersetuju memperluaskan Program FEN PROAKTIF 2.0 oleh Financial Education Network (FEN) bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar TVET.

Dalam masa sama, peranan PERHEBAT akan diperkukuh sebagai pusat latihan TVET bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara.

“Sebagai projek rintis, seramai 100 individu akan diserap ke dalam sektor logistik melalui kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), dengan peluang pekerjaan menawarkan gaji sehingga RM5,000,” katanya.

Menurut beliau, TVET dalam sektor pertanian turut akan menjadi keutamaan baharu bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam sektor agromakanan serta melonjakkan produktiviti dan inovasi dalam industri pertanian negara.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Sambutan Hari TVET Negara 2026 akan berlangsung pada 5 hingga 7 Jun depan di Dataran Putrajaya.

“Program ini akan menghimpunkan institusi TVET, pemain industri serta komuniti bagi mempamerkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran, di samping memperkukuh kerjasama industri dan antarabangsa dalam ekosistem TVET negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat