JAKARTA, 5 Mac 2026 – Era digital bukan sahaja menuntut pemimpin yang berautoriti, tetapi juga berintegriti dan boleh dipercayai dalam setiap tindakan serta keputusan.
Bekas Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, dalam dunia yang bergerak pantas dengan pendedahan maklumat serta penilaian awam secara segera, kepercayaan kini menjadi asas utama dalam menentukan keberkesanan kepimpinan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Kepimpinan Berasaskan Karakter (Reliability) Dalam Dunia Digital Yang Saling Terhubung” di hadapan para mahasiswa Universiti Tanri Abeng di Jakarta hari ini.
Menurut beliau, dalam dunia yang ditentukan oleh kelajuan, pendedahan dan penilaian segera, autoriti semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap seseorang pemimpin.
“Dalam dunia yang ditentukan oleh kelajuan, pendedahan dan penilaian segera, autoriti semata-mata tidak lagi mencukupi. Kepercayaan kekal sebagai mata wang utama kepimpinan,” katanya.
Salleh menjelaskan bahawa ekosistem digital masa kini meletakkan pemimpin di bawah pemerhatian berterusan, di mana setiap tindakan boleh diperbesar, ditafsir dan dinilai oleh masyarakat dalam tempoh yang sangat singkat.
Sehubungan itu, beliau menekankan konsep reliability atau kebolehpercayaan sebagai asas kepimpinan yang berkesan, iaitu keselarasan antara nilai dalaman seseorang pemimpin dengan tindakan yang ditunjukkan kepada umum.
Dalam syarahannya, beliau turut menggariskan empat tonggak utama reliability dalam kepimpinan, iaitu keselarasan antara kata dan tindakan, konsistensi prinsip tanpa mengira audiens, integriti dalam membuat keputusan serta kepimpinan yang berasaskan nilai dan bukannya sentimen atau trend semasa.
Beliau turut menyentuh cabaran etika dalam era digital termasuk risiko manipulasi maklumat, budaya reaktif akibat tekanan media sosial serta kecenderungan mengejar populariti jangka pendek sehingga mengorbankan kredibiliti jangka panjang.
“Teknologi bersifat neutral. Karakterlah yang menentukan sama ada ia menjadi alat kemajuan atau perpecahan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru golongan mahasiswa agar membina reputasi dan integriti sebelum mengejar kuasa, selain menekankan kepentingan menjaga jejak digital kerana ia bersifat kekal dan boleh dinilai pada masa hadapan.
Mengakhiri syarahannya, Salleh menegaskan bahawa kepimpinan beretika merupakan pelaburan jangka panjang paling lestari dalam dunia digital yang semakin tidak menentu.
“Kepimpinan bukan tentang teknologi yang kita kuasai, tetapi tentang kepercayaan yang kita bina,” katanya.
Turut hadir Rektor Universiti Tanri Abeng Profesor Dr Suyanto, Dekan School of Engineering Firmansyah Bachtiar, Dekan School of Management Dr Awang Darmawan, Dr Chairul Hamdani serta barisan pimpinan universiti berkenaan.



