Bersatu tarik balik saman terhadap Speaker Dewan Rakyat terkait enggan isytihar kekosongan 5 kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR – Bersatu menarik balik saman yang difailkan terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung keengganannya mengisytiharkan kekosongan kerusi lima Ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 3 tahun lalu.

Peguam, Chetan Jethwani yang mewakili parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memaklumkan perkembangan berkenaan kepada Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib, beliau berkata, saman berkenaan ditarik balik susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menolak permohonan kebenaran merayu dalam kes berasingan bagi mencabar keengganan Johari mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Jethwani memaklumkan bahawa Bersatu tiada pilihan selain menarik balik keseluruhan saman susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Januari lalu menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam satu usaha berasingan bagi mencabar keputusan Speaker yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah kosong.

Sementara itu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Michael Anthony yang mewakili lima Ahli Parlimen berkenaan, memohon mahkamah memberikan kos sebanyak RM100,000, dengan menyatakan bahawa kerja yang substantif telah dijalankan dalam kes terbabit.

Peguam Persekutuan, Zulkefli Sulaiman yang mewakili Johari, berkata kerajaan tidak menuntut kos dalam saman yang difailkan oleh Bersatu itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan Bersatu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada lima Ahli Parlimen berkenaan.

Lima Ahli Parlimen dinamakan sebagai defendan ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Saman difailkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presiden Bersatu yang juga Ketua Whip parti itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 2024.

Dalam saman itu, kedua-dua plaintif memohon satu deklarasi bahawa Johari melalui surat bertarikh 9 Julai 2024 telah bertindak menyalahi Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlaku kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit.

Plaintif-plaintif juga memohon satu deklarasi bahawa Johari perlu mematuhi peruntukan terbabit dengan mengesahkan bahawa kekosongan luar jangka telah berlaku serta memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah mahkamah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat