KUALA LUMPUR – Peguam Haniff Khatri Abdulla tampil memperjelaskan ketepatan istilah ‘kuil haram’ daripada sudut bahasa perundangan tidak wajar dipertikai.
Hal ini jelas beliau, label haram yang diguna pakai merujuk kepada tidak mengikut undang-undang bukannya merujuk anutan agama.
“Sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai kes pembinaan struktur rumah anutan secara menyalahi undang-undang di tanah swasta mahupun tanah awam yang telah didedahkan oleh pihak media, di mana istilah perundangan yang digunakan adalah “rumah anutan atau kuil haram”.
“Walau bagaimanapun, bebas daripada cuba mencari jalan untuk menangani dan menyelesaikan isu “rumah anutan atau kuil haram” ada pihak tertentu secara sampingan cuba membangkitkan secara salah akan penggunaan betul frasa “rumah anutan atau kuil haram” dalam merujuk kepada struktur-struktur berkenaan.
“Penggunaan laras bahasa dari sudut dan perspektif bahasa itu hendaklah difahami dengan lengkap dan betul dan dipatuhi serta dihormati mengikut kaedah dan maksud bahasa itu, apatah lagi apabila ianya melibatkan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu,” katanya.
Justeru menurut Haniff, penggunaan frasa “rumah anutan atau kuil haram” sememangya tepat dan lengkap merujuk kepada ketidakpatuhan perundangan dalam pewujudan “struktur” rumah anutan atau kuil itu, dan tidak boleh dimaksudkan sebagai merujuk kepada “anutan” itu langsung.
“Sensitiviti kaum ataupun agama tidak boleh secara salah mengkompromi atau menggadaikan penggunaan betul istilah bahasa perundangan berkaitan maksud sebenar “rumah anutan atau kuil haram” berkenaan, kerana seandainya bahasa itu difahami secara sebetulnya maka sensitiviti salah itu tidak mungkin muncul.
“Kalau tidak tahu menari, jangan salahkan lantai jongkang-jongket,” bidas Haniff.



