KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan pelantikan empat jawatan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri sebagai Ketua Staf Markas ATM.
Selain itu, tiga lagi jawatan utama membabitkan Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat dan Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) yang mana semua pelantikan berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Melalui kenyataan yang diterbitkan pada Selasa, MINDEF memaklumkan Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama, manakala Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan pangkat kepada Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat.
Sementara itu, Leftenan Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Zahani Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Eksekutif MIDAS.
MINDEF Memaklumkan pelantikan empat pegawai kanan itu dibuat selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kelmarin selepas menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang 7 Januari lalu.
Mengulas lanjut, MINDEF menegaskan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.
Dalam konteks ini, katanya kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara, tanpa kompromi.
“Barisan kepimpinan baharu ini diyakini mampu memikul harapan besar ini serta berkeupayaan memberikan khidmat dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme,” katanya.



