Isu menantu Muhyiddin cetus ketegangan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR — Perbahasan Dewan Rakyat pada sesi petang bertukar tegang susulan isu rasuah yang dikaitkan dengan menantu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Isu itu dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) ketika sesi perbahasan apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Pagoh berhubung keberadaan individu terbabit.

“Saya ingin nasihat Pagoh kalau tahu menantunya berada dimana, beritahulah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jangan jadi pengkhianat negara.

“Jangan subahat lindungi rasuah. Itu titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Kenyataan tersebut mencetuskan bantahan daripada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) bangkit dan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai disengajakan untuk menyinggung perasaan.

“Isu ini sudah banyak kali disebut dan ditegur. Saya tengok dia ada niat yang tidak baik terhadap Pagoh. Jadi saya minta Speaker buat ruling. Itu kerja polis,” ujarnya.

Beliau bangkit mencelah di bawah Peraturan Mesyuarat 36(6) yang melarang Ahli Parlimen membuat tuduhan atau sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen lain semasa persidangan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Poay Tiong mempertahankan kenyataannya dengan menyatakan ia berbentuk persoalan dan menggunakan perkataan bersyarat, selain meminta Ahli Parlimen Pagoh membantu siasatan berhubung kes yang melibatkan ahli keluarganya.

Situasi bertambah panas apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut bangkit dan menyifatkan kenyataan itu sebagai sangkaan buruk serta menggesa agar ia ditarik balik.

“Nak tanya apa kalau dah tidak wujud? Buatlah keputusan untuk tarik balik, selesai,” tegasnya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, beberapa kali membuat keputusan supaya rujukan terhadap menantu Ahli Parlimen Pagoh ditarik balik.

Namun keadaan kembali tegang apabila Poay Tiong mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan sokongan terhadap rasuah oleh ahli Parlimen Pas.

“Yang saya pelik Yang Berhormat Pas sokong rasuah,” katanya.

Susulan itu, Alice Lau mengarahkan kenyataan tersebut ditarik balik, namun Poay Tiong menukar rujukan kepada kawasan Parlimen lain sebelum ditegur sekali lagi.

“Kota Melaka, sila hormat saya di sini dan saya kata tarik balik,” katanya.

Poay Tiong akhirnya akur dengan arahan Timbalan Speaker dan menarik balik kenyataan berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat