Umno Kedah akui kalah dua PRU, tampil kemuka tawaran perbandingan dengan Pas – Mahdzir

KUALA LUMPUR – Umno Kedah sentiasa mengakui dan menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022 yang merupakan jatuh bangun mana-mana parti dalam arena politik negara.

Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya turut mengakui kemenangan pihak lawan terutama Pas yang sebelum itu berpuluh tahun menjadi pembangkang.

Namun, kata bekas Menteri Besar Kedah itu, setiap PRU berbeza dan memberi peluang terbuka kepada mana-mana parti untuk menang dan seterusnya membentuk kerajaan.

“Kita terima kekalahan itu dan bila kita terima kita sedar apa yang berlaku, maka kita tawarkan balik kepada rakyat. Pas mungkin berpuluh-puluh tahun hanya jadi pembangkang dan untuk sekian lama dia tunggu dan akhirnya dia ‘strike’.

“Jadi, dia menang dan kita tak sombong nak akui yang itu, tetapi apabila datang untuk PRU akan datang kita akan kemukakan tawaran sebagai sebuah parti politik dan rakyat boleh buat perbandingan,” katanya selepas Program Ziarah Kasih Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Pokok Sena lapor Utusan Kedah pada Selasa.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempersoalkan keyakinan Umno Kedah untuk menang semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu jika bertanding solo pada PRU16.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga bekas Pengerusi Umno Kedah, tidak berasaskan fakta dan rekod sebenar pilihan raya terdahulu.

Tambah Mahdzir, rakyat sudah melihat Umno melalui Barisan Nasional (BN) serta Pas memerintah negeri Kedah dan terpulang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan seterusnya pada pilihan raya akan datang.

“Apa yang Sanusi nak cakap terpulang lah kerana dia orang politik dan saya juga cakap sebagai seorang ahli politik. Saya ingat tak salah kalau kita nak kata apa-apa dan tawarkan.

“Malah apa juga keputusan yang kita buat mengenai parti, itu adalah keputusan konsensus oleh pucuk pimpinan dan dalam konteks Kedah, kita boleh sebut bahawa kita boleh bertanding pun di semua tempat.

“Presiden pun sebut kita boleh pergi secara solo dan kalau itu dipersetujui, kita boleh bertanding di semua tempat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat