Dunia Herbs melakar satu detik penting dalam sejarah jenamanya apabila secara rasmi melancarkan Losyen Mustajab Mini Sauna berwangian eksklusif, sekali gus mengumumkan pelantikan pelakon popular Fasha Sandha sebagai duta rasmi Dunia Herbs, selepas hampir sedekad jenama itu tidak melantik mana-mana duta.
Majlis pelancaran tersebut berlangsung pada Ahad, 11 Januari 2026, bertempat di Sama Sama Cuisine, Setapak. Acara ini dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi Dunia Herbs, wakil media, pempengaruh media sosial serta tetamu jemputan khas, menjadikannya platform rasmi bagi memperkenalkan hala tuju baharu jenama herba tempatan itu.
Pelancaran Losyen Mustajab Mini Sauna menandakan usaha berterusan Dunia Herbs untuk memastikan produk ikonik mereka kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif. Walaupun mengekalkan fungsi dan tahap kepanasan losyen Mustajab yang telah dipercayai pengguna selama lebih 20 tahun, inovasi kali ini menampilkan pembaharuan dari segi elemen wangian moden yang lebih segar dan menyenangkan.

Produk terbaharu ini hadir dengan empat pilihan wangian eksklusif yang direka khas bagi memenuhi citarasa pelbagai lapisan pengguna. Wangian Quince & Tulip menawarkan aroma segar dan lembut yang sesuai untuk kegunaan harian, manakala Golden Oud tampil dengan bauan mewah dan hangat yang memberikan rasa eksklusif. Blooming Peach pula menghadirkan sentuhan manis dan feminin, sesuai untuk golongan muda yang menggemari aroma ringan dan menyenangkan. Melengkapkan rangkaian ini ialah Amouge, wangian yang lebih sofistikated dan elegan, memberi pengalaman penggunaan yang premium tanpa menjejaskan fungsi asal losyen Mustajab.
Setiap wangian mempunyai karakter tersendiri bagi memenuhi keperluan dan citarasa pelbagai golongan pengguna, khususnya generasi muda yang mementingkan fungsi serta pengalaman penggunaan yang lebih selesa.
Pengarah Dunia Herbs, Wan Noramira Wan Rosdi, berkata pembaharuan ini adalah hasil kajian dan pemerhatian mendalam terhadap perubahan gaya hidup pengguna.
“Losyen Mustajab telah lebih 20 tahun berada di pasaran dan khasiatnya terbukti. Kami tidak mengubah formula asas atau tahap kepanasan. Sebaliknya, kami memperbaharui elemen wangian supaya produk ini terus relevan dan selesa digunakan oleh semua peringkat umur,” katanya.
Menurut beliau, proses pembangunan produk ini mengambil masa hampir tiga tahun bagi memastikan kualiti dan keberkesanan kekal pada tahap terbaik.
Kemuncak majlis ini adalah pengumuman Fasha Sandha sebagai duta rasmi Dunia Herbs, menandakan kembalinya strategi pelantikan duta selepas hampir 10 tahun. Sebelum ini, Dunia Herbs pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti terkenal, dengan Nora Danish menjadi duta terakhir jenama tersebut.

Keputusan untuk kembali melantik duta dibuat selepas pertimbangan teliti, selari dengan pelancaran produk baharu dan hala tuju pemasaran yang lebih segar.
“Kami tidak melantik duta secara tergesa-gesa. Selepas hampir 10 tahun, kami merasakan inilah masa yang tepat. Fasha Sandha mempunyai personaliti yang positif, konsisten dan kekal relevan dalam industri hiburan, sama seperti prinsip yang kami pegang di Dunia Herbs,” ujar Noramira.
Tambah beliau, Fasha Sandha bukan sekadar wajah promosi, malah terlibat secara aktif dalam memberikan idea dan pandangan sepanjang proses pembangunan produk.
Sementara itu, Fasha Sandha menyatakan beliau tidak teragak-agak menerima tawaran sebagai duta kerana sudah lama mengenali dan menggunakan produk Mustajab.
“Keluarga saya memang pengguna Mustajab. Apabila ditawarkan sebagai duta, saya mencadangkan agar diperkenalkan sesuatu yang baharu yang boleh menarik minat generasi muda, tetapi masih mengekalkan keberkesanan asal. Dari situlah idea losyen dengan pilihan wangian ini tercetus,” katanya.

Menurut Fasha, produk ini bukan sahaja berkesan, malah memberikan keyakinan kerana aromanya yang harum dan sesuai digunakan dalam kehidupan seharian.
Pelancaran ini turut memperkenalkan pendekatan pemasaran baharu Dunia Herbs, termasuk perubahan tagline daripada “Satu Rumah, Satu Losyen Mustajab” kepada konsep “Setiap Bilik, Satu Losyen Mustajab”, sejajar dengan kepelbagaian variasi wangian yang ditawarkan.
Losyen Mustajab Mini Sauna disasarkan kepada pelbagai peringkat umur, daripada remaja hingga warga emas, menjadikannya produk serba guna untuk kegunaan seisi keluarga.
Pelancaran produk terbaharu dan pelantikan Fasha Sandha sebagai duta rasmi ini menandakan permulaan lembaran baharu buat Dunia Herbs dalam usaha mengekalkan kepercayaan pengguna setia, di samping mendekati generasi muda.
Dengan menggabungkan warisan herba tradisional dan inovasi moden, Dunia Herbs terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama tempatan yang relevan, dipercayai dan sentiasa berkembang mengikut peredaran masa.



