KUALA LUMPUR, — Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Nurul Ezzati Azmi, berpandangan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional wajar disandang oleh Presiden parti komponen bagi memastikan kepimpinan gabungan itu berteraskan prinsip legitimasi dan mandat parti.
Beliau berkata jawatan strategik seperti Pengerusi PN perlu dipegang oleh pemimpin yang mempunyai keabsahan serta kuasa penuh untuk membuat keputusan dan mewakili pendirian rasmi parti masing-masing dalam gabungan politik tersebut.
Menurut Nurul Ezzati, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kesepakatan parti-parti dalam PN, di samping mengelakkan kekeliruan dari sudut tadbir urus dan hala tuju gabungan.
Tambah beliau, kepimpinan yang jelas dan berautoriti merupakan asas kepada kestabilan gabungan serta keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik yang matang dan berfungsi dengan baik.
Dalam kenyataan sama, Nurul Ezzati turut menyatakan sokongan Srikandi Muda Bersatu terhadap pendirian tegas Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) berhubung isu-isu politik semasa yang menyentuh prinsip tadbir urus, integriti dan kelangsungan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik.



