Bersabar dan ikut tertib Perlembagaan PN, Tun Faisal nasihat Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail menasihatkan Ketua Pemuda PAS, Afnan Taib Azamudden agar bersabar serta mematuhi tertib dan peruntukan Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus polemik berkaitan kepimpinan gabungan itu.

Dalam satu catatan di akaun media sosialnya, Tun Faisal menegaskan bahawa sebarang langkah berkaitan panggilan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN perlu dibuat mengikut kaedah dan peruntukan perlembagaan yang sah, bukannya melalui tekanan terbuka di media dan media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa dari sudut perlembagaan, peletakan jawatan Pengerusi PN hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi. Selagi proses itu belum dimuktamadkan, kuasa memanggil dan mempengerusikan mesyuarat masih terletak kepada Pengerusi seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PN.

Tun Faisal turut menegaskan bahawa Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi hanya boleh diadakan melalui permohonan bertulis oleh sekurang-kurangnya dua parti anggota kepada Setiausaha Agung, dan pelaksanaannya hendaklah dibuat oleh Setiausaha Agung, bukannya oleh mana-mana pihak lain.

Dalam konteks itu, beliau mempersoalkan kenyataan Bendahari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad yang mencadangkan Setiausaha Agung PN turut meletakkan jawatan sekiranya Pengerusi berbuat demikian. Menurut Tun Faisal, cadangan tersebut menimbulkan kekeliruan kerana Setiausaha Agung mempunyai peranan penting dalam mengurus pentadbiran gabungan dan memanggil mesyuarat mengikut perlembagaan.

Mengulas desakan agar mesyuarat diadakan dengan segera, Tun Faisal menyifatkan permintaan Ketua Armada BERSATU, Hilman Idham supaya PAS memberi ruang kepada semua parti komponen PN membuat ketetapan dalaman masing-masing terlebih dahulu sebagai munasabah dan adil.

Beliau menegaskan bahawa setiap parti mempunyai proses dalaman tersendiri yang perlu dihormati sebelum sebarang keputusan strategik diangkat ke peringkat gabungan.

Tun Faisal turut mengingatkan bahawa sepanjang tahun 2025, terdapat situasi di mana beberapa ahli Majlis Tertinggi PN daripada PAS sendiri tidak menghadiri mesyuarat ketika kehadiran mereka diperlukan. Justeru, beliau mempersoalkan mengapa keperluan mengadakan mesyuarat kini dianggap terlalu mendesak.

Selain isu perlembagaan, Tun Faisal turut mempersoalkan konsistensi seruan saling menghormati yang dibangkitkan Afnan, sedangkan menurutnya beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin PAS sebelum ini bercanggah dengan prinsip tersebut.

Beliau mengingatkan bahawa pada 29 Disember 2025, Afnan sendiri pernah membuat hantaran media sosial menggunakan bahasa keras dan tidak beradab ketika mendesak perubahan jawatan Pengerusi PN, yang menurutnya tidak mencerminkan adab perbincangan dalam sebuah gabungan politik.

Tun Faisal juga mengkritik tindakan PAS menyiarkan surat panggilan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN kepada umum melalui media dan media sosial, yang disifatkannya mencetuskan kekeliruan serta tidak selari dengan amalan tadbir urus gabungan.

Beliau mempersoalkan mesej sebenar di sebalik pendedahan surat tersebut kepada umum, sedangkan isu berkaitan kepimpinan gabungan sepatutnya dibincangkan secara tertutup melalui saluran rasmi PN seperti Mesyuarat Majlis Tertinggi atau platform komunikasi dalaman.

Menurut beliau, tindakan membawa perkara sensitif ke ruang awam turut menimbulkan persoalan mengapa pertemuan rasmi antara Presiden PAS dan Presiden BERSATU sukar diatur dalam negara, walhal sebelum ini pertemuan melibatkan kepimpinan parti di luar negara boleh diusahakan.

Isu pencalonan Perdana Menteri turut disentuh apabila Tun Faisal mempertahankan pendirian BERSATU bahawa cadangan Ketua Armada BERSATU menamakan Presiden BERSATU sebagai calon Perdana Menteri dibuat dalam platform parti dan belum diangkat ke peringkat PN.

Beliau membandingkan pendekatan itu dengan tindakan Afnan sendiri yang sebelum ini menamakan beberapa pemimpin PAS sebagai calon Perdana Menteri PN dalam forum terbuka, yang menurutnya menunjukkan pendekatan berbeza terhadap prinsip saling menghormati antara rakan gabungan.

Selain itu, Tun Faisal turut mencabar dakwaan bahawa wakil rakyat BERSATU terlibat dalam penyerahan surat akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan Menteri Besar Perlis.

Beliau menuntut agar bukti dikemukakan sekiranya dakwaan tersebut benar, sambil menegaskan bahawa Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli telah menyatakan peletakan jawatannya adalah secara sukarela atas faktor kesihatan dan perkara itu diperkenan oleh Raja Perlis.

Menurut Tun Faisal, kegagalan untuk bertabayyun dan mengesahkan fakta sebelum membuat tuduhan terbuka hanya akan menjejaskan kepercayaan antara rakan gabungan.

Beliau menegaskan bahawa prinsip saling menghormati tidak boleh bersifat selektif, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui adab, kesabaran, musyawarah dan pematuhan kepada Perlembagaan Perikatan Nasional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat