KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China tidak berubah sejak 1974, namun hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan akan terus dipelihara tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi negara.
Beliau berkata, laporan mengenai penggantungan rundingan pelaburan antara Taiwan dan Malaysia perlu diperjelaskan kerana hubungan kedua-dua pihak tidak melibatkan rundingan diplomatik rasmi, sebaliknya melalui Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi serta jawatankuasa kerja perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, kerajaan telah meminta mesyuarat jawatankuasa berkenaan diteruskan selepas penangguhan sebelum ini.
Anwar berkata, perdagangan Malaysia-Taiwan kekal kukuh apabila jumlah perdagangan bagi Januari hingga September 2026 mencecah RM254.21 bilion, merangkumi eksport RM116.58 bilion, meningkat 88 peratus, manakala import RM137.67 bilion, naik 24.2 peratus.
Beliau turut memaklumkan pelaburan Taiwan di Kedah bernilai RM813.2 juta dan setakat semakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tiada petunjuk pelabur menarik diri atau menghentikan pelaburan baharu.
Katanya, Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan Taiwan khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan elektronik.
Beliau menegaskan Malaysia menyokong penyelesaian aman isu Taiwan serta akan mempertahankan prinsip dasar luar negara sambil memastikan kerjasama ekonomi dan perdagangan terus berkembang.



