KUALA LUMPUR – “Adam Adli yang pernah mereka buang, kini menjadi boss mereka. Siapa sangka kan?” kata Cikgu Mohd Fadli Salleh, seorang pendidik yang dikenali ramai kerana suaranya yang lantang dalam isu pendidikan.
Susulan itu, Cikgu Fadhli berharap Timbalan Menteri yang baharu ini dapat jalankan tugas dengan cemerlang dan pimpin Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan baik.
“Dulu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) gantung Adam Adli 3 semester. Sehingga beliau cabar kes itu di mahkamah. Dan mahkamah putuskan penggantungan itu sah disisi undang-undang.
“Hari ini, universiti yang sama ucap tahniah kepada Adam Adli, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu.
“Adam Adli yang pernah mereka buang, kini menjadi bos mereka. Siapa sangka kan? Diharap Timbalan Menteri yang baharu ini dapat jalankan tugas dengan cemerlang dan pimpin Kementerian Pendidikan Tinggi dengan baik.
“Dah ada kuasa dan jawatan ni, harap dapat tunaikan semua janji dan perjuangan dahulu. Mansuh PTPTN dan pendidikan percuma,” seru Cikgu Fadhli yang sebelum ini dikenali sebagai guru yang pernah mencetuskan kontroversi mengkritik sistem pendidikan negara.
Kata Cikgu Fadhli, ramai anak muda sokong perjuangan Adam Adli dahulu.
“Ramai berharap beliau menang dan dapat laksanakan janji yang pernah diucap dulu.
“Kini beliau dah menang. Kini beliau pegang jawatan Timbalan Menteri. Semoga dipermudahkan urusan beliau untuk melaksanakan segala janji.
Begitulah,” katanya.
Untuk rekod, Adam Adli digantung pengajian di universiti pada 6 September 2013, berikutan pertuduhan hasutan di mahkamah itu.
Sebelum penggantungannya, Adam Adli memimpin bantahan pelajar mengenai pelbagai isu termasuk Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim bertukar portfolio ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi jawatan sama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman khas pada Selasa berkata, tempat Adam Adli di kementerian itu diisi Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Menurut Anwar, pelantikan dan pertukaran portfolio itu adalah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula Kabinet.



