KUALA LUMPUR – Umno Sabah telah mengenal pasti empat individu sebagai calon berpotensi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, parti itu sedang meneliti kriteria calon boleh menang hasil sesi libat urus bersama pimpinan akar umbi tempatan, bagi menjamin kemenangan selesa di kedua-dua kerusi.
“Kita telah mengenal pasti beberapa calon dan saya mendengar apa-apa jua yang telah disuarakan pimpinan di peringkat akar umbi. Insya-Allah kita akan bawa perkara ini untuk diputuskan pada masa sesuai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi lapor Bernama.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata bakal calon yang dikenal pasti adalah lelaki, muka baharu dan berpotensi memberi kemenangan lebih meyakinkan kepada parti.
Beliau berkata pemilihan calon itu turut mengambil kira prestasi PRN Sabah baru-baru ini, yang menyaksikan majoriti undi diperoleh Umno di Lamag berkurangan selain faktor kesihatan calon ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Jafry berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hasrat untuk mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Kinabatangan dan Lamag.
Sementara itu, Jafry berkata kepimpinan baharu Umno Sabah komited meneruskan perjuangan parti secara lebih inklusif dan matang selari dengan peranan sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan negeri.
“Dalam kedudukan ini, keutamaan kami bukan sekadar kestabilan politik tetapi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara adil, menyeluruh dan berkesan serta kebajikan rakyat sentiasa dibela tanpa mengira latar belakang.
“Umno Sabah dan BN beriltizam untuk menjadi rakan kerajaan yang matang, berdisiplin dan bertanggungjawab. Bekerja dengan rendah hati, mendengar suara rakyat dan menunaikan amanah demi masa depan Sabah yang lebih sejahtera dan bermaruah,” katanya.
Selain itu, Jafry turut mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak kekal sebagai Bendahari Umno Sabah, manakala Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dilantik Ketua Penerangan dan Datuk Harun Durabi selaku Penolong Setiausaha.
Dalam pada itu, memetik Harian Metro berkait isu sama, Umno Sabah enggan mengesahkan sama ada anak Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan, dalam kelompok empat nama dikenal pasti sebagai calon menjelang PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan, 24 Jan ini.
Kata Jafry, beliau menghormati pandangan Naim, namun di peringkat pimpinan ada pandangan berbeza.
“Berkenaan kenyataan (Naim), itu dia punya pandangan tapi di peringkat kepimpinan, kita juga mempunyai pandangan berbeza,” katanya.
Jafry enggan mengesahkan sama ada Naim tersenarai dalam empat nama dimaksudkan.
“Tiada komen (nama Naim sebagai calon). Belum lagi diputuskan. Kita tunggu dan lihat.”
Sebelum ini, timbul suara akar umbi Umno Kinabatangan yang mencadangkan Naim dicalonkan di Lamag. Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan yang turut kosong, Adun Sukau Jafri Ariffin dikatakan menjadi pilihan utama.
Pada PRN Sabah 29 Nov lalu, Bung mempertahankan DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Pada PRU 2022, Bung turut mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan yang dipegangnya selama lima penggal dengan majoriti 4,330 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, dengan penamaan calon pada 10 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.
PRK perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar pada 5 Dis lepas.



