SHAH ALAM, – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempelawa orang ramai untuk hadir beramai-ramai memeriahkan Festival Mega I LINDUNG U 2025, yang berlangsung
selama tiga hari mulai 24 hingga 26 Oktober 2025 di pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor.
Festival berskala mega ini dijangka menarik lebih 70,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian menarik, hadiah lumayan serta peluang menyemak, mendaftar dan memahami lebih dekat skim perlindungan sosial di bawah PERKESO.
PERKESO dalam kenyataannya memberitahu, penganjuran festival ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi seruan untuk seluruh rakyat Malaysia menjadikan perlindungan sosial sebagai gaya hidup sejahtera dan bertanggungjawab.
“Festival ini adalah platform rakyat untuk mengenali dan mendekati PERKESO secara lebih interaktif. Melalui pelbagai aktiviti, kami mahu setiap lapisan masyarakat sedar bahawa keselamatan sosial adalah hak dan keperluan asas demi masa depan mereka,” jelas kenyataan itu.
Antara pengisian festival ini ialah sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tausiah oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi, serta ceramah agama oleh Ustaz Mad Kecik.
Selain itu, pengunjung berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma oleh Bahagian Perubatan dan Pemulihan PERKESO, serta saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Aktiviti senaman “Pound” bersama personaliti kecergasan terkenal, Hanis, turut dijangka mencuri tumpuan.
Bagi majikan pula, PERKESO turut menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sepanjang festival bagi membantu mereka menyelesaikan tunggakan caruman dan menggalakkan pematuhan terhadap tanggungjawab keselamatan sosial pekerja namun tertakluk kepada terma dan syarat.
Festival ini juga menjadi destinasi terbaik buat pencari kerja dan graduan menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs, yang menawarkan hampir 1,000 jawatan kosong daripada syarikat-syarikat terkemuka seperti DRB-Hicom Auto Solutions Sdn Bhd, Watsons, Top Glove Corporation Berhad, Media Prima Berhad, dan Mega Fortis Berhad.
Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai peringkat, termasuk untuk graduan baharu sehingga ke peringkat pengurusan dengan tawaran gaji sehingga RM10,000.
Menambah kemeriahan, pengunjung boleh menyertai aktiviti seperti dekorasi kek tiramisu “LINDUNG Kasih”, bual bicara “LINDUNG Pekerja”, pertandingan e-Sport “LINDUNG Kendiri”, perkongsian inspirasi bersama pempengaruh Makkiah Ferry, serta pertunjukan silap mata oleh Mawie Magic.
Festival ini turut menyediakan lebih 60 gerai jualan makanan, minuman dan produk komuniti, selain kaunter semakan caruman dan pendaftaran skim perlindungan PERKESO untuk kemudahan orang ramai.
Setiap malam, pentas utama bakal dihangatkan dengan Konsert I LINDUNG U menampilkan barisan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr.
PERKESO menjemput semua lapisan masyarakat daripada pekerja, majikan, pencari kerja hingga keluarga untuk hadir ke Festival Mega I LINDUNG U, yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam, dan berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai keseluruhan RM20,000 seperti tablet, basikal, vacuum cleaner dan banyak lagi.



